Selepas Kenya, Netflix mula melancarkan penawaran percuma kepada penggunanya di Vietnam. Pelan percuma ini ditawarkan tanpa iklan dan tidak akan meminta sebarang maklumat pembayaran apabila pengguna mewujudkan akaun percuma tersebut.
Cuma, penawaran ini hanya ditawarkan secara khusus pada telefon pintar Android sahaja. Kandungannya tidak boleh dipancarkan ke televisyen atau mana-mana paparan lain.
Netflix juga mengehadkan judul-judul yang sedia ditonton di bawah pelan percuma dengan hanya menawarkan judul yang popular. Jika ingin mendapatkan lebih kandungan, pengguna perlu melanggan perkhidmatannya.
Sama seperti pelan yang ditawarkan di Kenya, pengguna percuma di Vietnam juga tidak boleh memuat turun kandungan untuk tontonan secara offline. Pun begitu, Netflix menyatakan fungsi berkenaan akan diaktifkan di masa hadapan.
Lain-lain fungsi ditawarkan seperti biasa seperti mewujudkan sehingga lima profil. Tidak dinyatakan sama ada akaun percuma ini akan mempunyai akses ke fungsi Games yang baharu sahaja dilancarkan.
Penawaran pelan percuma oleh Netflix ini dilihat sebagai langkah untuk menarik lebih ramai pelanggan baharu. Vietnam mempunyai populasi lebih dari 97 juta berdasarkan perangkaan pada tahun 2019.
Menurut Netflix, jumlah pelanggan perkhidmatannya di negara tersebut bagaimanapun kurang dari 300,000. Ini menjadikan Vietnam sebagai negara yang berpotensi besar untuk Netflix menambah bilangan pelanggannya yang kini kian perlahan pertumbuhannya.