Netflix kini melaksanakan keperluan baharu yang mewajibkan setiap profil biasa di bawah satu akaun dipautkan kepada alamat e-mel yang unik. Sekali gus mengubah cara profil dalam akaun dikongsi diakses dan diuruskan.

Pelaksanaan ini dibuat secara berperingkat, dengan perubahan tersebut mula dilancarkan pada 15 Jun 2026.

Di bawah perubahan ini, pengguna yang terkesan akan menerima gesaan untuk menambah alamat e-mel pada profil mereka sebelum boleh terus menggunakan profil berkenaan.

Menurut Pusat Bantuan Netflix, alamat e-mel itu mestilah unik dan tidak boleh digunakan pada akaun atau profil Netflix lain.

Netflix turut menetapkan profil Kanak-kanak dikecualikan daripada keperluan ini. Ia tidak boleh ditambah dengan alamat e-mel untuk log masuk terus. Ini bermakna perubahan berkenaan tertumpu kepada profil biasa atau profil dewasa dalam satu akaun.

Kesan terhadap pengguna berkongsi akaun Netflix

Setiap pengguna kini boleh mempunyai kaedah log masuk sendiri tanpa bergantung sepenuhnya pada e-mel utama pemilik akaun.

Netflix menyatakan pendekatan ini membolehkan pengalaman log masuk yang lebih diperibadikan. Malah ia juga dikatakan dapat memudahkan akses pada peranti baharu, termasuk penggunaan kod log masuk yang dihantar melalui e-mel.

Selain itu, setiap profil dapat mengurus tetapan sendiri dengan lebih jelas, termasuk cadangan tontonan, bahasa, audio dan pilihan paparan.

Dari sudut fungsi, langkah ini menjadikan setiap profil lebih hampir kepada identiti pengguna individu walaupun masih berada di bawah akaun Netflix yang sama.

Walaupun Netflix berpandangan perubahan ini sebagai penambahbaikan kepada log masuk dan pemperibadian, langkah tersebut mencetuskan rungutan dalam kalangan sebahagian pengguna dalam talian.

Laporan mengenai respons pengguna menunjukkan ada yang mempersoalkan keperluan praktikal mewajibkan e-mel berasingan bagi setiap profil. Khususnya untuk isi rumah yang selama ini berkongsi satu akaun dengan beberapa profil.

Sebahagian pengkritik juga membangkitkan kebimbangan privasi dan penggunaan data. Netflix bagaimanapun secara rasmi menjelaskan perubahan itu bertujuan memudahkan log masuk, pemulihan akses serta pengalaman yang lebih peribadi.

Setakat ini, Netflix belum mengumumkan jadual pelaksanaan global yang terperinci. Sebaliknya perubahan itu terus diperluas secara berperingkat mengikut akaun dan rantau.

Bagi pengguna yang menerima gesaan tersebut, proses menambah e-mel pada profil bukan lagi pilihan sementara kerana Netflix menganggapnya sebagai perubahan kekal.

Dalam erti kata lain, penggunaan profil biasa dalam akaun dikongsi selepas ini akan semakin terikat kepada identiti log masuk individu, selari dengan usaha berterusan syarikat itu memperkemas kawalan akses dan pengurusan akaun.

Tinggalkan komentar