Utama Internet Patutkah harga langganan Streamyx dipotong Separuh?

Patutkah harga langganan Streamyx dipotong Separuh?

1430
0

Streamyx, pakej pelan internet jalur lebar yang menggunakan sambungan dawai tembaga ini masih lagi digunakan oleh lebih kurang 136,000 pengguna di Malaysia. Antara penyebab utama mengapa ianya dipilih oleh sebahagian besar pengguna di Malaysia adalah disebabkan oleh kekangan infrastruktur.

Hampir keseluruhan pengguna yang masih lagi kekal menggunakan Streamyx adalah disebabkan masalah lokasi kediaman dan premis masing-masing yang tidak menerima liputan rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi seperti Unifi.

Sedang dunia menuju ke arah sambungan internet berkelajuan tinggi sehingga 1Gbps dan juga teknologi rangkaian mudah alih 5G, pengguna Streamyx perlu membayar kadar RM110 sebulan untuk pakej 1Mbps dan RM110 sebulan untuk pakej RM8Mbps. Kos yang terlalu tinggi dan tidak sepadan dengan kelajuan yang dicapai berbanding dengan sambungan berasaskan gentian optik.

Tak padan dengan Harga

Sebagai contoh perbandingan, perkhidmatan internet berkelajuan tinggi berasaskan rangkaian gentian optik seperti TM Unifi, Maxis atau Time menyediakan pakej dari serendah RM79 sebulan untuk kelajuan 30Mbps. Hinggalah ke RM129 sebulan untuk kelajuan 100Mbps.

Macam terbalik pulak. Internet perlahan harga mahal, internet laju harga murah.

Pastinya pihak TM mempunyai alasannya sendiri mengapa keadaan tersebut boleh terjadi seperti kekangan teknologi dawai tembaga itu sendiri yang hanya boleh mencapai had kelajuan tertinggi pada 8Mbps. Untuk meluaskan kawasan rangkaian gentian optik pula, faktor muka bumi Malaysia menyukarkan pelaksanaannya dapat dilakukan dalam masa yang terdekat ini.

Untuk itu, sebagai pengguna tentunya kita mahukan harga tersebut dikurangkan bersesuaian dengan keadaan semasa. Kadar penembusan internet yang tinggi di kalangan rakyat juga sesuai dengan hasrat kerajaan yang inginkan rakyat Malaysia berpengatahuan tinggi serta berkeupayaan menggerakkan ekonomi digital seiring dengan negara-negara maju lain.

Dulu, harga pakej rangkaian gentian optik memang lagi tinggi disebabkan oleh faktor teknologinya yang masih baru serta faktor monopoli yang membuatkan pengguna tiada pilihan lain. Namun, perubahan mendadak pada penawaran perkhidmatan rangkaian gentian optik memberikan pengguna lebih banyak pilihan yang lebih baik. Justeru, membolehkan pengguna mendapatkan kualiti capaian yang lebih pantas pada harga yang lebih rendah melalui rangkaian gentian optik.

Cumanya, perkhidmatan internet berkelajuan tinggi ini hanya terhad di kawasan-kawasan bandar utama Malaysia terutamanya di Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Kawasan-kawasan lain masih lagi terpaksa bergantung harap pada rangkaian internet teknologi dawai tembaga, Streamyx.

Oleh yang demikian, adalah wajar harga bagi pakej internet berkelajuan rendah ini dikurangkan bagi menyeimbangkan kadar penembusan internet di antara warga bandar dan luar bandar. Adalah tidak adil bagi warga luar bandar yang berpendapatan rendah terpaksa membayar kadar yang lebih tinggi hanya untuk mendapatkan akses internet berkelajuan siput babi.

 

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.