Utama Telco TM Perkhidmatan Streamyx / Unifi Lite akan ditamatkan sepenuhnya bermula 28 Februari ini

Perkhidmatan Streamyx / Unifi Lite akan ditamatkan sepenuhnya bermula 28 Februari ini

37
0

Telekom Malaysia (TM) menerusi laman web rasminya telah mengumumkan perkhidmatan rangkaian berasaskan kuprum tidak akan ditawarkan lagi bermula 28 Februari 2025. Kesemua pelanggan Streamyx dan Unifi Lite dikehendaki menukarkan ke pakej berasaskan fiber Unifi Broadband secepat mungkin.

Masalah-masalah yang melibatkan rangkaian berasaskan kuprum tersebut juga tidak akan diselesaikan selepas tarikh tersebut. Pengguna yang masih tidak melakukan migrasi ke pakej talian fiber juga akan ditamatkan perkhidmatan Unifi Lite atau Streamyx yang dilanggan.

Untuk anda yang menggunakan rangkaian lama ini boleh menaik taraf ke talian fiber melalui butang “Migrate Now” di laman web Unifi ini, atau mengunjungi Unifi Store atau TM Point yang berhampiran. TM turut menjelaskan pelanggan yang telah menjalankan migrasi akan dikekalkan kelajuan dan juga bayaran bil pada setiap bulan.

Dari segi kepantasan pemasangan, TM memaklumkan naik taraf ke Unifi Broadband bergantung kepada ketersediaan infrastruktur fiber di kawasan tersebut. Jika telah tersedia, kebanyakan pemintaan migrasi boleh disiapkan dalam tempoh 14 hari bekerja.

Bagaimanapun, untuk kawasan yang tidak mempunyai infratruktur, TM akan memaklumkan kepada pengguna tarikh ketersediaan yang dijangka untuk perkhidmatan fiber. Menurut laman soalan-soalan lazimnya, pembinaan infrastruktur baharu boleh mengambil masa yang panjang, antara 30 hingga 180 hari bekerja.

Langkah ini menandakan tamatnya era TM Streamyx yang menggunakan rangkaian kuprum untuk sambungan internet jalur lebar. Perkhidmatan ini pertama kali dilancarkan pada tahun 2001 dengan kelajuan yang ditawarkan di antara 384kbps hingga 2Mbps.

Pada tahun 2019, perkhidmatan ini telah digabungkan ke dalam satu pilihan kelajuan dengan muat turun 8Mbps dan muat naik 512kbps. Dalam tahun yang sama, ia dijenamakan semula sebagai Unifi Lite. TM pada 2022 telah mengumumkan rancangan untuk menamatkan rangkaian berasaskan kuprum yang ditawarkannya secara berperingkat menjelang 2025.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.