Lebih kurang setahun sejak HONOR memperkenalkan telefon pintar boleh lipat keduanya, hari ini secara rasmi generasi ketiganya, Magic V3 dilancarkan. Jika sebelum ini kami berkesempatan membuat ulasan telefon pintar boleh lipat clamshell, Samsung Galaxy Z Flip 6, kali ini kami berkesempatan pula melihat dengan lebih dekat telefon pintar boleh lipat baharu dari HONOR.
Dari segi fizikalnya saya amat tertarik dengan tahap ketebalannya yang benar-benar nipis baik ketika dilipat mahupun ketika dibuka.
Macam mana dia punya nipis tu?
9.2mm apabila dilipat, dan 4.55mm apabila dibuka lipatannya.

Walaupun ia amat nipis, HONOR masih lagi mampu memuatkan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3, RAM 12GB dan storan 512GB. Sememangnya sebuah pencapaian kejuruteraan yang mantap!
Selain daripada itu, paparan hadapannya yang dilengkapkan dengan skrin OLED berukuran 6.43-inci dengan skrin utama AMOLED LTPO serta kecerahan puncak 1,800 nits, dan kadar penyegaran semula 120Hz.
Kedua-duanya paparan ini kelihatan hebat baik di atas kertas mahupun di atas tangan saya. Kesan kedutanya pada paparan utamanya seperti biasa masih lagi sebagaimana lumrah telefon-telefon pintar boleh lipat.
HONOR Magic V3 bukan sekadar hebat pada gaya dan rupanya, ia juga teguh dari segi material binaannya yang menurut HONOR diperbuat daripada Super Fibre (gentian super) – bahan yang dikatakan lebih kental dari gentian karbon.
Seterusnya, modul kamera utama merupakan penambahbaikan yang paling ketara pada Magic V2. Walaupun ia kelihatan sama dengan Magic 6 Pro, terdapat beberapa perbezaan pada kamera-kamera tersebut.
Sistem tri-kamera tersebut mengandungi dua kamera 50MP yang terdiri daripada satu kamera telefoto dengan zum optikal 3.5x yang mampu menyokong zum digital sehingga 100x dan satu lagi adalah kamera utama bersudut lebar. Melengkapkan tri-kamera ini, sebuah kamera ultra-lebar 40MP turut ditempatkan bersama-sama modul-modul tersebut.
Saya berkesempatan mengambil foto-foto untuk dijadikan contoh di dalam artikel ini. Secara ringkasnya, kualiti yang dihasilkannya boleh dikirakan amat baik terutamanya dalam keadaan persekitaran yang terang. Oleh kerana ia memanfaatkan kuasa kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI), foto yang dihasilkannya mampu menutup kesan-kesan cela dan bintik-bintik noda pada wajah untuk menjadikan anda kelihatan lebih anggun.
Nanti ulasan lanjut kami untuk telefon pintar boleh lipat baharu HONOR Magic V3 pada artikel yang akan datang. Sementara itu, saksikan siaran langsung penstriman pelancaran HONOR Magic V3 di IFA 2024 Berlin.















