Selepas pengumumannya pada Mei lalu, serta pratonton pembangun dan beta awam, Android 15 kini secara rasminya telah dilancarkan versinya yang stabil. Kod sumbernya telah dimuat naik ke Android Open Source Project (AOSP).
Bagaimanapun, kemaskini untuk peranti pengguna termasuk telefon-telefon pintar Pixel masih lagi belum ditawarkan. Kemaskini terkini untuk telefon pintar Google berkenaan buat masa ini masih lagi berasaskan Android 14.
Menurut Google, kemaskini Android 15 akan mula tersedia untuk peranti-peranti Pixel termasuk siri Pixel 9 dalam tempoh beberapa minggu lagi. Untuk peranti-peranti jenama lain bagaimanapun masih lagi belum diketahui.
Peranti dari pengeluar lain seperti Samsung, Honor, iQOO, Lenovo, Motorola, Nothing, OnePlus, Oppo, Realme, Sharp, Sony, Tecno, vivo, dan Xiaomi, dijangka akan menerima kemaskini Android 15 sekitar beberapa bulan nanti. Waktu ketersediaan kemaskini tersebut pada peranti-peranti berkenaan juga bergantung pada pengeluar masing-masing, serta model-modelnya.
Walaupun Google memberikan bayangan Android 15 mungkin akan tersedia untuk peranti Pixel seawal Oktober ini, ia masih lagi belum dianggap sebagai rasmi lagi buat masa ini. Dalam pada masa yang sama, para pembangun mempunyai akses ke kod AOSP untuk sistem operasi baharu dan boleh mula membuat persediaan untuk terbitan rasmi dengan mengusahakan ciri-ciri dan keupayaan baharu yang ditawarkan oleh kemaskini berkenaan.