HONOR bakal memberi nafas baharu kepada barisan telefon pintar bernombor utamanya yang dikenali sebagai Siri N. Kedudukan siri tersebut akan dinaik taraf kepada status peranti mercu (flagship).

Peralihan strategik jenama ini dijangka akan merancakkan persaingan dalam segmen telefon pintar berprestasi tinggi. Butiran dan pengumuman penuh mengenainya dijadualkan berlangsung pada 9 April 2026.

Sebelum ini, siri N seperti barisan HONOR 400 dan 600 ditawarkan sebagai peranti kelas pertengahan. Lazimnya merangkumi penawaran model Pro, asas, dan Lite.

Melalui rombakan baharu ini, model akan datang bagi siri N akan diletakkan di bawah kategori premium. Menyertai barisan elit seperti siri Magic yang merangkumi telefon pintar Magic8 Pro serta peranti boleh lipat Magic V6 dan V5.

Walau bagaimanapun, siri N dijangka akan diposisikan pada tahap permulaan bagi segmen premium tersebut.

Menurut HONOR, peranti siri N baharu ini akan menawarkan “prestasi bertaraf peranti mercu tanpa menjejaskan kreativiti dan kebolehgunaan harian pengguna”.

Spesifikasi dan Penawaran Premium

Siri HONOR N baharu akan ikuasakan oleh perkakasan kelas atasan seperti cipset siri Snapdragon 8 bertaraf “Elit” untuk menyokong prestasi tahap tinggi.

Ia juga dilengkapkan dengan sistem lensa telefoto baharu yang dipertingkatkan. Butiran yang ditangkapnya juga dijangka lebih tajam dalam pelbagai keadaan penggambaran berbanding generasi sebelumnya.

Untuk sistem pengimejan kecerdasan buatan (AI), telefon pintar baharu ini dijangka akan menyokong keupayaan seperti alat inovatif ‘Imej-ke-Video’ (Image-to-Video). Ia membolehkan pengguna menghidupkan atau menganimasikan gambar pegun.

Rekaannya pula akan menampilkan reka bentuk badan baharu yang lebih anggun. Selain premium, ia juga selesa untuk dipegang, serta dibina dengan ketahanan yang tinggi.

Rombakan struktur barisan telefon pintar ini secara tidak langsung mengubah kedudukan peranti HONOR yang lain. Siri peranti tahan lasak X9, yang merangkumi model X9d dan X9c, kini mengambil alih peranan sebagai penawaran peranti kelas pertengahan utama HONOR.

Sementara itu, bagi pengguna yang mencari kelengkapan asas pada harga mampu milik, pasaran tersebut akan terus disokong oleh siri peranti peringkat permulaan (entry-level) seperti model X7 dan X6.

Tinggalkan komentar