Utama Android Honor Ulasan HONOR Magic V2: Telefon Pintar Boleh Lipat Gaya Tablet yang Anggun...

Ulasan HONOR Magic V2: Telefon Pintar Boleh Lipat Gaya Tablet yang Anggun dan Ramping

81
0

Minggu lalu kami telah berkongsikan pandang pertama HONOR Magic V2 yang pada ketika ini merupakan telefon pintar gaya tablet paling nipis dan ringan di dunia. Untuk kali ini, kami akan mengulas dengan lebih lanjut mengenai keupayaan dan ciri-ciri unik yang ditawarkan oleh telefon pintar boleh lipat baharu keluaran HONOR ini.

Seperti yang kita sedia maklum, HONOR Magic V2 mempunyai ketebalan hanya 4.7mm sahaja apabila dibuka lipatannya dan menjadi 9.9mm tebal jika dilipat. Justeru, menjadikan ia lebih nipis berbanding kebanyakan telefon pintar konvensional lain di pasaran.

Spesifikasi HONOR Magic V2

Harga RM6,999
Skrin Skrin luaran:

  • OLED LTPO 6.43-inci
  • Resolusi:2,376 x 1,060 piksel
  • Kadar penyegaran semula: 120Hz refresh rate,
  • Nisbah skrin kepada kerangka: 91.2%
  • Kecerahan puncak: 2,500 nits
  • Lain-lain: 402 ppi, 100% DCI-P3, HDR10+

Skrin dalaman:

  • OLED LTPO boleh lipat 7.92-inci
  • Resolusi: 2,344 x 2,156 piksel
  • Kadar penyegaran semula: 120Hz,
  • Tahap kecerahan puncak: 1,600 nits p
  • Lain-lain: 402ppi, Pemalapan PWM 3,840Hz
  • 100% DCI-P3, HDR10+
Pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2
Memori RAM: 16GB LPDDR5 (RAM Maya +7GB HONOR RAM Turbo)

Storan: 512GB UFS 3.1 storage

OS Android 13 melalui antaramuka MagicOS 7.2
Kamera Kamera belakang:

  • Sistem kamera HONOR Falcon 50MP F/1.9 dengan OIS
  • Kamera ultra lebar 50MP F/2.0
  • Kamera telefoto 20MP F/2.4 dengan OIS

Kamera skrin hadapan

  • 16MP F/2.2

Kamera skrin dalaman

  • 16MP F/2.2
Battery 5,000mAh karbon silikon dengan pengecasan berwayar 66W HONOR Supercharge
Saiz dan berat Ukuran dilipat:

  • 156.7 x 74.1 x 9.9mm

Ukuran buka lipatan:

  • 156.7 x 145.4mm x 4.7mm

Berat:

  • 231g

Kelebihan dan Kekurangan

Kelebihan

  • Telefon pintar boleh lipat gaya tablet paling nipis di dunia
  • Rekaan dan binaan berkualiti tinggi dan praktikal
  • Kualiti paparan yang cemerlang
  • Spesifikasi mantap
  • Bateri yang boleh tahan

Kekurangan

  • Tiada sokongan pengecasan nirwayar
  • Tiada penarafan kerintangan (IP) debu dan air

Reka bentuk HONOR Magic V2

Pada berat hanya 231 gram sahaja, ia lebih ringan jika dibandingkan dengan telefon pintar boleh lipat lain. Antara faktor yang menjadikan ia lebih ringan ini adalah disebabkan oleh penggunaan engsel titanium yang kukuh tetapi ringan.

Ia dikatakan 42% lebih ringan jika dibandingkan dengan engsel keluli tahan karat yang pada kebiasaannya digunakan pada telefon pintar boleh lipat keluaran lain. Selain itu, penggunaan kerangka aloi magensium dan bateri karbon silikon yang amat nipis lagi nipis dari sekeping kad kredit turut menyumbang kepada pengurangan berat keseluruhannya.

Faktor ergonomik HONOR Magic V2 juga dititikberatkan dengan ukuran skrin luarannya menyamai ukuran kebanyakan telefon pintar konvensional lain. Ia dibuat tanpa menjejaskan kepenggunaan skrin dalaman apabila dibuka lipatannya. Pada saya ini lebih baik dari sesetengah model telefon pintar yang amat ‘kurus’ skrin luarannya hingga menjadikan kita agak kekok mengendalikannya.

Skrin luarannya yang lebar ini juga pada pandangan saya memudahkan pengguna terus mengendalikan telefon pada paparan tersebut. Skrin dalamannya pula dianggap sebagai bonus untuk melihat kandungan pada paparan yang lebih besar seumpama menggunakan tablet.

Paparan luaran OLED LTPO 6.43-inci ini bukan sahaja mempunyai kadar penyegaran semula 120Hz, malah mempunyai gamut warna DCI-P3 100% dan kecerahan puncak 2,500 nits. HONOR juga menyediakan sokongan teknologi pemalapan 3,840 PWM pada paparan ini bagi membantu mengurangkan kesan pada mata pengguna akibat kerlipan pada paparan terutamanya jika digunakan di dalam tempat gelap.

Selain itu, HONOR juga mengintegrasikan paparan telefon pintar ini dengan teknologi Circadian Night Display yang digunakan bersama-sama teknologi pemalapan PWM bagi memastikan cahaya dipancarkan dari paparan tidak mengganggu kitaran tidur pengguna.

Skrin dalamannya OLED boleh lipat 7.92-inci juga mempunyai spesifikasi yang sama seperti DCI-P3 100%, kadar penyegaran semula 120Hz, dan resolusi 2,344 x 2,156 piksel. Cuma paparan dengan nisbah aspek 9.78:9 ini mempunyai tahap kecerahan puncak lebih rendah berbanding skrin luarannya pada 1,600 nits.

Menariknya, skrin boleh lipat ini tidak begitu ketara kesan lipatannya apabila dibuka terutama ketika paparannya sedang dihidupkan. Ia akan kelihatan apabila skrinnya dimatikan atau digelapkan.

Lapisan anti-silau khas yang didatangkan bersama-sama skrin dalamannya ini juga mengurangkan kesan silau dan mampu meningkatkan nikmat penggunaannya ketika menonton filem atau bermain permainan mudah alih. Walaubagaimanapun, memainkan permainan melalui skrin dalaman ini mungkin menyebabkan paparan sesetengah permainan kelihatan janggal kerana bentuk skrinnya yang berbentuk hampir segi empat sama.

Menurut HONOR, engsel aloi titanium yang digunakan pada telefon pintar ini mempunyai persijilan SGS yang mampu dilipat sehingga lebih dari 40,000 kali. Kalau dah macam tu, lipat 100 kali sehari sampai 10 tahun pun mungkin ia masih lagi boleh bertahan. Mekanisme lipatan pada engselnya ini juga semakin kukuh dengan ia mampu diposisikan pada lipatan separuh mengikut kesesuaian pengguna.

Perkakasan

Dari segi perkakasan, HONOR Magic V2 hadir dengan perkakasan bertaraf mercu seperti pemprosesan Snapdragon 8 Gen 2, RAM 16GB dan storan dalaman berkapasiti 512GB. Pada saiz storan tersebut, ia seperti saiz storan kebanyakan komputer laptop di pasaran pada ketika ini.

Walaupun buat masa ini sudah pun hadir pemprosesan yang lebih terkini, Snapdragon 8 Gen 3, pemprosesan yang digunakan oleh HONOR Magic V2 yang dliancarkan pada tahun lepas masih lagi dikirakan sebagai berprestasi tinggi.

Ia masih mampu mengendalikan permainan-permainan mudah alih pada tetapan grafik tinggi tanpa sebarang masalah serta menjalankan aplikasi suntingan video. Cuma atas faktor saiznya yang amat nipis, ia lebih mudah menjadi panas jika keperluan berprestasi tingginya tersebut digunakan dalam tempoh yang lama.

RAM dan ROM

Secara keseluruhannya, saya berpendapat prestasi HONOR Magic V2 menyamai prestasi HONOR Magic5 Pro. Telefon pintar mercu keluaran HONOR pada tahun lalu yang juga menggunakan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2. Selain kuasa pemprosesannya, kapasiti RAM dan storannya pada hemat saya amat besar iaitu 16GB untuk RAM dan 512GB untuk storan. Dah macam laptop dia punya besar.

Kapasiti RAM yang besar tersebut turut ditambah dengan sokongan penambahan RAM secara maya sebanyak 7GB lagi. Menjadikan jumlah RAM keseluruhan Magic V2 21GB. Ini sudah lebih memadai dan mungkin tidak begitu dirasakan kesan penambahannya memandangkan 16GB itu sendiri terlalu besar bagi keperluan penggunaan semasa.

Sepanjang tempoh pengujian ini juga saya mendapati tahap respon dan kepantasan keupayaan mengendalikan apa jua aplikasinya amat mengkagumkan. Ini merangkumi permainan berkeupayaan grafik tinggi seperti Genshin Impact dan PUBG Mobile.

Seperti biasa, permainan bergrafik tinggi ini akan menyebabkan peranti menjadi panas jika dimainkan dalam sesuatu tempoh yang agak panjang. Oleh yang demikian, HONOR menyediakan sokongan sistem penyejukan Ultrathin Bionic VC. Ia mengintegrasikan ruang pengewapan yang nipis, lapisan termal grafit, gel konduktiviti termal, gelung tembaga dan kerangka tengah AL berkonduktiviti termal tinggi bagi melepaskan haba secara efektif dari komponen-komponennya.

Bateri

Dari segi ketahanan baterinya, HONOR Magic V2 yang menggunakan bateri karbaid silikon baharu 5,000mAh ini mampu bertahan sekitar 16 jam bagi penggunaan yang agak berat, sesuatu yang amat jarang diketemukan pada sesebuah peranti boleh lipat. Pengecasannya pula ia menyokong pengecasan pantas 66W berwayar. Kepala pengecas dengan wattan tersebut turut disediakan bersama-sama di dalam kotak pembungkusannya.

Perisian

HONOR Magic V2 menggunakan sistem operasi Android 13 menerusi antaramuka MagicOS 7.2 dan bakal menerima kemaskini Android selama tiga tahun serta kemaskini keselamatan selama lima tahun. Sokongan ini dikirakan agak panjang bagi sesebuah telefon pintar mercu Android.

Penggunaan antaramuka MagicOS 7.2 ini pada pandangan saya amat lancar untuk dikendalikan dengan isu melibatkan tergendala amat-amat jarang berlaku.

Aplikasi-aplikasi sarap masih terdapat pada telefon pintar ini, namun ia tidaklah begitu sarat seperti sesetengah telefon pintar. Untuk memuat turun aplikasi, selain dari gedung aplikasi HONOR yang disediakan, anda juga boleh memuat turun aplikasi dari Google Play seperti peranti Android lain.

Kelebihan engselnya yang boleh diposisikan secara separa mengikut kesesuaian bagaimanapun tidak dimanfaatkan sebaiknya oleh perisian telefon pintar ini. Buat masa ini MagicOS tidak menawarkan optimasi aplikasi untuk memaparkannya dalam keadaan lipatan separa. Pun begitu, antaramuka kameranya menyediakan fungsi untuk mengambil foto dalam keadaan lipatan separa.

Kamera HONOR Magic V2

Walaupun nipis, HONOR Magic V2 masih mampu menawarkan sistem tri-kamera yang cemerlang di belakangnya melalui:

  • Kamera 50MP F/1.9 HONOR Falcon dengan OIS
  • Kamera ultra lebar 50MP F/2.0
  • Kamera telefoto 20MP F/2.4 dengan OIS

Gabungan kamera-kamera ini juga mampu menghasilkan rakaman video sehingga 4K pada 60fps dan zum secara hibrid sehingga 10x. Oh ya, untuk tangkapan gambar pula ia mampu melakukan zum secara hibrid sehingga 40x.

Kamera belakang HONOR Magic V2 ini didapati mampu menghasilkan perincian dan janaan warna yang menarik, selain mampu menawarkan julat dinamik yang baik terutamanya bagi foto yang ditangkap pada waktu siang. Foto yang diambil secara zum pula masih lagi baik walaupun terdapat sedikit kabur jika dilihat dengan amat teliti.

Untuk kamera-kamera pada paparannya, luar dan dalam pula masing-masing menempatkan sebuah kamera 16MP yang berkeupayaan merakam video sehingga 4K pada 30fps.

Kesimpulan

Selaku telefon pintar boleh lipat paling nipis dan ringan di dunia, HONOR Magic V2 menyediakan paparan luaran dan dalaman yang amat cemerlang dengan prestasi bertaraf mercu. Telefon pintar ini juga mempunyai ketahanan yang baik untuk penggunaan baterinya selain kamera-kamera yang padu.

Selongsong (casing) dan pengecas yang didatangkan secara percuma di dalam kotak pembungkusannya juga mampu menarik minat anda yang sedang mencari-cari telefon pintar boleh lipat premium.

Maklumat lanjut mengenai HONOR Magic V2, layari HONOR Malaysia.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.