HONOR Magic V3 secara rasminya telah dilancarkan ke pasaran global semalam dengan harga rasmi telefon pintar boleh lipat baharu berkenaan turut diumumkan – RM6,999 untuk pasaran Malaysia.
Secara ringkas, konfigurasi HONOR Magic V3 yang ditawarkan di Malaysia menggunakan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3, RAM 12GB dan storan 512GB. Untuk paparannya, di luar ia menggunakan panel OLED berukuran 6.43-inci dengan paparan dalamannya yang boleh dilipat, AMOLED LTPO berukuran 7.92-inci dengan kecerahan puncak 1,800 nits. Panel pada kedua-dua sisinya ini tahan calar dengan lapisan salutan nano.
Modul kamera utamanya merupakan salah satu tumpuan utama Magic V3 dengan rekabentuknya seakan-akan Magic 6 Pro seperti di dalam artikel pandang pertama kami sebelum ini. Ia mempunyai kamera yang terdiri daripada kamera bersudut lebar 50MP, kamera telefoto 50MP dengan zum optikal 3.5x dan zum digital 100x serta kamera ultra lebar 40MP.
Bersempena pengumuman rasminya, HONOR turut membuka pra-tempahan Magic V3 bermula dari semalam sehingga 12 September dengan menawarkan Perlindungan Skrin HONOR 365 hari, HONOR Watch 4, Magic Pen dan HONOR SuperCharge Wireless Charger Stand, kesemuanya bernilai RM2,896.
Selain itu, bagi anda yang ingin mendapatkan bersama pelan CelcomDigi, Magic V3 boleh didapati pada harga RM113 sebulan menerusi pelan Easy360.
Maklumat lanjut, layari laman web rasmi HONOR Malaysia.