Utama Android Honor Pandang Pertama HONOR Magic V2

Pandang Pertama HONOR Magic V2

260
0

HONOR kini dilihat sedang meningkat naik dengan penawaran barisan produk-produk mantap seperti Magic5 Pro yang dilancarkan pada tahun lepas. Ia merupakan antara telefon pintar mercu berkuasa yang ditawarkan pada harga yang munasabah di pasaran.

Permulaan tahun 2024 ini pula menyaksikan sebuah lagi telefon pintar bertaraf mercu yang diperkenalkan ke pasaran Malaysia melalui HONOR Magic V2. Telefon pintar ini pada asalnya telah pun pertama kali diperkenalkan di China pada Julai tahun lepas. Untuk pasaran Malaysia telefon pintar boleh lipat baharu ini secara rasminya akan diperkenalkan pada 16 Januari 2024.

Kami berpeluang melihat dengan lebih dekat HONOR Magic V2 menjelang tarikh pelancarannya ke pasaran tempatan tidak berapa lama lagi. Berdasarkan pandang pertama unit tersebut, kami berpandangan telefon pintar boleh lipat baharu keluaran HONOR ini merupakan yang paling nipis setakat ini yang pernah dikeluarkan.

Berketebalan hanya 4.7mm apabila dibuka lipatannya, HONOR Magic V2 boleh menjadi senipis tiga keping kad kredit yang disusun secara bertindih. Malah apabila dilipat, ia berketebalan 9.9mm dan ia lebih kurang ketebalan kebanyakan telefon pintar konvensional lain di pasaran masa kini.

Ukuran ketebalan telefon pintar ini kelihatan mengkagumkan bukan sekadar di atas kertas, malahan ia sememangnya amat nipis dan ringan hingga mampu terapung di atas kertas yang diletakkan di atas air melalui demonstrasi langsung yang diadakan oleh HONOR Malaysia baru-baru ini.

Apabila dipegang, HONOR Magic V2 dapat dirasakan mutu premiumnya melalui rekaan yang menggabungkan material kaca dan logam padanya serta bahan aloi titanium pada engselnya. Membuka dan menutup skrinnya juga dapat dilaksanakan dengan lancar. Selain itu, engselnya juga boleh membuka lipatan paparan dalaman telefon pintar ini secara separa.

Secara luarannya, telefon pintar ini hadir dengan kemasan matte metalik pada permukaan belakangnya berona ungu, seperti unit ulasan yang kami terima ini. Di belakangnya juga mempunyai kamera utama 50MP, kamera ultra-lebar 50MP dan kamera telefoto 20MP. Kedua-dua kamera utama dan telefoto berkenaan juga mempunyai penstabil imej optikal bagi mengurangkan kesan gegaran apabila foto atau rakaman video sedang dibuat.

Skrin dengan penjagaan mata

Seperti telefon pintar boleh lipat gaya tablet lain, HONOR Magic V2 juga hadir dengan skrin luaran. Ia mempunyai paparan OLED LTPO 6.43-inci dengan kadar penyegaran semula 120Hz. Selain itu, ia juga mempunyai kejituan warna gamut 100% DCI-P3 dan tahap kecerahan puncak 2,500 nits.

HONOR juga mengetengahkan ciri penjagaan mata pada paparannya melalui sokongan pemalapan PWM 3,840Hz. Skrin luarannya ini juga menempatkan sebuah kamera 16MP.

Masih lagi tentang skrin, apabila dibuka lipatannya, HONOR Magic V2 menawarkan skrin dalaman berukuran LTPO OLED 7.92-inci yang juga mempunyai kadar penyegaran semula 120Hz. Ia juga mempunyai 100% DCI-P3 dan tahap kecerahan puncak 1,600 nits serta kamera swafoto 16MP.

Pada sisi kanannya ditempatkan butang kuasa yang juga berperanan untuk pengimbas cap jari. Manakala di sisi kiri yang dibuka lipatannya pula menempatkan butang kawalan audio. Di bahagian bawahnya pula disediakan port USB-C dan salah satu daripada sepasang corong pembesar suara yang menyediakan audio stereo.

HONOR Magic V2 bukan sekadar menampilkan ciri nipis, ringan dan boleh lipatnya semata-mata. Ia juga hadir dengan perkakasan yang mantap setaraf dengan telefon pintar mercu lain masa kini.

Walaupun Snapdragon 8 Gen 2 bukanlah pemprosesan Qualcomm terkini, prestasinya tidak kurang hebatnya memandangkan ia boleh dikirakan baharu sahaja dilancarkan pada November 2022. Telefon pintar yang menggunakan antaramuka Magic OS 7.2 berasaskan Android 13 ini juga hadir dengan RAM sebanyak 16GB dan storan sebesar 512GB. Melengkapkan spesifikasi selaku telefon pintar mercu, ia juga mempunyai sokongan WiFi 7 dan 5G.

Apa yang lebih menarik, rekaan nipisnya ini tidak menghalang ia dari menyediakan bateri berkapasiti 5,000mAh. HONOR Magic V2 juga menawarkan sokongan pengecasan 66W yang turut disediakan kepala pengecasnya di dalam kotak pembungkusannya.

Kemegahan rekaannya yang serba nipis dan ringan ini bagaimanapun mempunyai sedikit kekurangan. Antaranya ketiadaan penarafan ciri kerintangan air dan debu yang mana memerlukan pengguna lebih cermat dalam mengendalikannya dan persekitaran yang basah atau berdebu.

Untuk harganya, HONOR Malaysia setakat ini tidak mengumumkan harga rasminya di pasaran tempatan serta tawaran istimewa pra-tempahannya. Untuk itu, nantikan pengumuman rasminya yang dijadualkan berlangsung pada 16 Januari 2024.

Maklumat lanjut, layari laman web rasmi HONOR Malaysia.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.