Opensignal melaporkan Malaysia menduduki di tempat kedua bagi kelajuan memuat turun 5G di kalangan 13 buah negara di Asia Pasifik dengan kelajuan purata 295.95Mbps. Di tempat pertama, Korea Selatan mencatatkan kelajuan purata 427.5Mbps
Di tempat ketiga dan keempat pula dihuni oleh New Zealand dan Singapura yang masing-masing mencatatkan 293.8Mbps dan 285Mbps.
Laporan tersebut turut mengetengahkan ketersediaan 5G Malaysia yang meletakkan negara kita di tangga keempat di kalangan negara-negara Asia Pasifik. Pengguna yang bersambungan ke rangkaian 5G pula mencatatkan 31.8% daripada masanya. Ini menjadikan Malaysia berada di belakang India yang mencatatkan 52.1%, Singapura (35.9%), dan Korea Selatan (34%).
Opensignal juga menyatakan Malaysia telah merekodkan perubahan mendadak paling besar di antara 4G dan 5G di rantau Asia Pasifik. Lebih 37% sambungan di dalam negara kini berasaskan 5G, menandakan perubahan ketara dari teknologi mudah alih generasi sebelumnya.
Pun begitu, Malaysia menduduki di tangga ke-10 dalam pengalaman liputan 5G dengan catatan markah 2.6 mata sahaja berbanding Singapura yang mendahului dengan 9.0.
Minggu lepas Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mendedahkan Malaysia telah mencapai 81.9% lliputan 5G di kawasan berpendudukan. Menurut beliau, sejumlah 7,191 tapak 5G telah dibangunkan di seluruh negara dengan 564 dan 551 tapak masing-masing di Sabah dan Sarawak.