Huawei secara rasminya telah membawakan tablet mercunya, MatePad Pro 12.2 ke pasaran Malaysia. Ia didatangkan dengan paparan yang besar, dan terang menggunakan teknologi OLED tandem dan tekstur PaperMatte untuk kemasan anti-silau.
MatePad Pro 12.2 memuatkan paparan OLED 12.2-inci beresolusi 2,800 x 1,840 dengan kadar penyegaran semula skrin 144Hz, nisbah aspek 3:2 serta kecerahan global puncak 1,000 nits dan 2,000 nits untuk kandungan HDR.
Kapasiti memorinya mempunyai sebanyak 12GB dengan kapasiti storan dalamannya pula 512GB. Bagaimanapun Huawei tidak menyatakan pemprosesan apa yang digunakannya. Namun, berdasarkan spekulasi ia dikatakan menggunakan pemprosesan Kirin 9000S.
Dari segi pengimejannya pula, tablet ini menawarkan tiga kamera dengan dua daripadanya di bahagian belakang, dan satu lagi di bahagian hadapan. Di belakangnya ia mempunyai kamera utama 13MP dan kamera ultra lebar 8MP, manakala di hadapannya pula terdapat kamera 16MP.
Tablet yang besar ini menggunakan bateri berkapasiti 10,100mAh yang menyokong pengecasan 100W. Pada bahagian sisi tablet yang menggunakan antaramuka HarmonyOS 4.2 ini menempatkan pengimbas cap jari.
Huawei MatePad Pro 12.2 dijual pada harga RM4,599 dan boleh dipra-tempah sehingga 11 Oktober 2024 menerusi kedai dalam talian rasmi Huawei Malaysia dan juga di Shopee dan Lazada. Pra-tempahan ini juga turut menawarkan aksesori berbentuk papan kekunci, M Pencil dan tetikus nirwayar Bluetooth secara percuma.