Sekitar jam 1 pagi tadi penduduk di Sarawak telah menyaksikan gugusan objek di langit yang kelihatan seperti hujan meteor. Sebilangan saksi kejadian turut merakamkan foto dan video untuk dikongsikan di laman media sosial masing-masing.
Bagaimanapun, objek berkenaan bukanlah hujan meteor sebaliknya ia merupakan roket milik China Long March 5B, menurut Agensi Angkasa Negara Malaysia (ANGKASA). Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan, cebisan (debris) berkenaan dikesan pada jam 0055 pada 31 Julai 2022 waktu Malaysia dan terbakar sebaik sahaja ia memasuki ruang atmosfera Bumi.
Cebisan yang terbakar tesebut telah melintasi ruang udara Malaysia dan dikesan di beberapa lokasi sekitar Sarawak. Dilaporkan, cebisan berkenaan memasuki di 9°U 119°T sekitar Laut Sulu berhampiran Pulau Palawan, Filipna.
https://twitter.com/nazriacai/status/1553424586624335872
Semalam, MOSTI telah mengeluarkan kenyataan mengenai kemungkinan cebisan roket tersebut untuk terhempas di lokasi berpenduduk atau bangunan adalah rendah. Hal ini kerana lebih kurang 70% permukaan Bumi diliputi air, manakala luas permukaan tanah Malaysia juga adalah kecil.
Pada ketika itu, cebisan roket tersebut dijangka akan memasuki ruang atmosfera Bumi pada latitud 31.9° dan longitud 148.9°. Bagaimanapun, agak sukar untuk menganggarkan lokasinya yang tepat sehinggalah ia berada betul-betul hampir dengan atmosfera.
Risiko terhempas
Setakat ini tiada laporan yang melibatkan kerosakan jiwa dan harta benda yang disebabkan oleh roket Long March 5B ini. Kebiasaannya, cebisan angkasa akan hangus terbakar sehingga hancur ketika memasuki ruang atmosfera Bumi, namun risiko untuk saki-bakinya mencecah ke permukaan Bumi tetap wujud.
China telah melancarkan roket Long March 5B ke angkasa pada 24 Julai 2022 dari Wenchang, Hainan. Ia membawa modul makmal Wentian untuk stesen angkasa Tiangong. Modul tersebut ditempatkan dengan Modul Teras Tianhe sekitar 13 jam selepas pelancaran dan digunakan untuk para penyelidik menjalankan eksperimen sains di dalam keadaan graviti sifar. Ia juga mempunyai rak kargo luaran bagi menjalankan eksperimen yang melibatkan persekitaran angkasa lepas, cahaya kosmik, hampagas dan angin suria.
BREAKING! Wentian Laboratory Module has docked with Tianhe Core Module. Shenzhou-14 astronauts will later enter the new lab module#CZ5B #Wentian https://t.co/bAnANc9mKh pic.twitter.com/USUp8frkgg
— China 'N Asia Spaceflight 🚀𝕏 🛰️ (@CNSpaceflight) July 24, 2022
Awal minggu ini, kebimbangnan mengenai roket China Long March 5B telah disuarakan oleh pelbagai komuniti angkasa antarabangsa apabila ia didapati mula jatuh ke Bumi tanpa kawalan. Ia dibimbangi akan menyebabkan kerosakan jiwa dan harta benda jika jatuh di kawasan berpenduduk.
Tidak seperti kebanyakan pelancaran roket yang biasanya perangkat teras dan penggalaknya dijatuhkan tidak lama selepas dilancarkan, roket Long March 5B terus membawanya bersama untuk memasukkan muatannya ke dalam orbit. Selepas muatannya memasuki ruangan orbit, sisa roketnya ditinggalkan begitu sahaja untuk terhempas kembali ke Bumi.
Menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA), Republik Rakyat China tidak berkongsikan maklumat trajektori yang tepat untuk roket Long March 5B. Ketiadaan maklumat yang tepat ini menyukarkan pihak berwajib negara-negara lain untuk mengenalpasti lokasi di mana roket berkenaan akan terhempas.
April baru-baru ini telah dilaporkan sebuah objek logam besar telah terhempas di sebuah perkampungan di negeri Maharashtra, India. Ia dikatakan dari roket China Long March 3B yang sebelum ini dilancarkan pada Februari 2021. Menurut laporan, objek tersebut berukuran diameter 2-3 meter dan seberat lebih 40kg. Tiada sebarang kerosakan jiwa dan harta benda dilaporkan dari kejadian tersebut.