Utama Android Nothing Nothing Phone (2) dilancarkan di Malaysia; Harga bermula dari RM2,999

Nothing Phone (2) dilancarkan di Malaysia; Harga bermula dari RM2,999

275
0

Berkesinambungan dari telefon pintar Nothing pertama, Phone (2) kini akhirnya dilancarkan di Malaysia. Ia ditawarkan dengan dua pilihan konfigurasi iaitu RAM 12GB + storan 256GB dan RAM 12GB + storan 512GB dengan dua pilihan warna iaitu White atau Dark Grey.

Berbeza dengan ketika pelancarannya untuk pasaran global awal minggu ini, telefon pintar yang dilancarkan di pasaran Malaysia ini tidak menawarkan pilihan konfigurasi 8GB + 128GB.

Generasi kedua telefon pintar Nothing ini tampil dengan paparan skrin OLED LTPO yang lebih besar 6.7-inci dengan resolusi 1080 x 2412 piksel. Ia juga mempunyai kadar penyegaran semula adaptif sehingga 120Hz dan kecerahan sehingga 1,600 nits.

Paparan yang dilindungi oleh Corning Gorilla Glass ini juga mempunyai sokongan Always On dan pengimbas cap jari terbina bawah skrinnya. Turut disediakan sepasang pembesar suara stereo, selain mempunyai juga penarafan kerintangan air dan debu IP54.

Spesifikasi Nothing Phone (2)

Di dalamnya pula, telefon pintar ini menggunakan Snapdragon 8 Gen 1 dengan sokongan 5G. Ia menggunakan bateri berkapasiti 4,700mAh dengan sokongan pengecasan pantas 45W melalui USB-C serta sokongan pengecasan nirwayar 15W dan nirwayar berbalik 5W.

Nothing Phone (2) menggunakan sistem operasi Nothing 2.0 OS yang berasaskan Android 13. Sistem operasi ini menampilkan beberapa aplikasi pihak pertama seperti perakam audio dan alatan Glyph Composer yang membolehkan anda menghasilkan dan berkongsikan nada dering buatan anda sendiri dan juga kesan pencahayaannya. Seiring dengan paparan antaramukanya, turut disedikan widget bertema yang boleh digerakkan dan diubah saiznya mengikut kesesuaian pada skrin.

Sama seperti modelnya yang terdahulu, tumpuan utama Phone (2) adalah pada antaramuka Glyph yang terdapat pada panel belakangnya. Susun aturnya hampir sama seperti sebelumnya, namun dibahagikan kepada 11 jalur LED dengan menawarkan lebih banyak zon pencahayaan. Melaluinya, Glyphs bukan sahaya mampu memberikan kesan yang lebih dinamik, malah boleh berfungsi sebagai petunjuk paras bunyi dan juga pemasa.

Nothing turut memaklumkan pihaknya akan mengintegrasikan fungsi berkenaan dengan aplikasi seru pandu seperti Grab Car. Buat masa ini, fungsi ini hanya terhad untuk aplikasi Uber di beberapa buah negara.

Akhir sekali, Nothing Phone (2) menawarkan dwi-kamera dengan kamera utamanya menggunakan sensor Sony IMX890 50MP dan Samsung JN1 50MP untuk kamera ultra lebar. Pada sebelah hadapannya pula ditempatkan sebuah kamera 32MP.

Di Malaysia, Nothing Phone (2) berharga RM2,999 untuk pilihan konfigurasi RAM 12GB dan storan 256GB. Manakala pilihan konfigurasi RAM 12GB + storan 512GB pula berharga RM3,499. Telefon pintar ini akan mula dijual di Shopee, Lazada dan juga wakil pengedar yang sah diseluruh negara.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.