Nothing telah membatalkan perancangan untuk melancarkan peranti pintar bajet baharunya, CMF Phone 3 Pro untuk tahun ini.
Keputusan ini dibuat berikutan kenaikan mendadak harga komponen memori di pasaran global. Secara tidak langsung memberi kesan besar kepada kos pengeluaran peranti kelas permulaan.
Model berkesinambungan dari CMF Phone 2 Pro yang dilancarkan pada April tahun lepas itu pada awalnya dijangka tiba di pasaran pada suku ketiga tahun ini, iaitu sekitar bulan Ogos hingga September.
Walau bagaimanapun, Pengasas Bersama Nothing, Akis Evangelidis, tampil mengesahkan siri peranti tersebut tidak akan diteruskan pada tahun ini.
Faktor utama pembatalan ini berpunca daripada lonjakan harga komponen memori global. Untuk makluman, memori seperti RAM (Memori Capaian Rawak) merupakan cip perkakasan utama yang menguruskan data sementara untuk kelancaran aplikasi.
Memandangkan siri CMF merupakan barisan peranti ultra-bajet daripada Nothing, margin keuntungan model ini adalah sangat sensitif terhadap sebarang kenaikan kos pembuatan.
Menurut Evangelidis, realiti pasaran semasa tidak menyebelahi syarikat tersebut. Beliau menyatakan dengan paras harga memori ketika ini, syarikat tidak boleh membina sebuah peranti yang menawarkan peningkatan teknologi sebenar pada harga yang mampu milik dan masuk akal untuk sasaran pasaran jenama CMF.
Walaupun tiada pelancaran model telefon bimbit di bawah siri CMF tahun ini, jenama tersebut mempunyai perancangan lain. Evangelidis mengesahkanterdapat “beberapa produk baharu” yang sedang dibangunkan, dan ini merangkumi peluasan ke dalam kategori produk yang baharu sepenuhnya.
Di samping itu, pihaknya juga memberikan bayangan sebuah telefon pintar utama Nothing yang baharu akan dilancarkan tidak lama lagi.
Penganalisis industri menjangkakan peranti tersebut berkemungkinan besar adalah model kelas pertengahan atau premium seterusnya, yang dipercayai merujuk kepada Nothing Phone (4).













