Harga telefon pintar dijangka terus meningkat sehingga tahun depan apabila kos memori terus melonjak akibat krisis bekalan global, menurut Carl Pei, pengasas bersama dan CEO jenama Nothing.

Dalam hantaran panjang di platform X, Pei menyatakan memori kini menjadi komponen paling mahal dalam telefon pintar. Malah boleh merangkumi lebih 50% daripada keseluruhan bil perkakasan.


Menurut beliau, keadaan itu menunjukkan kos memori sahaja kini boleh melebihi gabungan kos pemproses dan skrin. Dua komponen tersebut secara tradisinya dianggap paling mahal dalam pembinaan telefon pintar.

Pei turut memberi contoh bahawa kos memori bagi Nothing Phone (4a) telah meningkat dua kali ganda. Ia berlaku di antara fasa keputusan pembangunan dan pelancarannya, sebelum kembali berganda sekali lagi selepas itu.

Pei berkata trend tersebut belum menunjukkan tanda reda dan harga telefon dijangka “akan terus naik sehingga tahun depan”. Beliau juga memberi amaran bahawa musim jualan tahun ini mungkin tidak menawarkan potongan harga seperti kebiasaan.

Dalam pada masa yang sama menyarankan pengguna yang bercadang menaik taraf peranti supaya tidak menangguhkan pembelian terlalu lama.

Kenaikan kos ini bukan hanya memberi kesan kepada Nothing, sebaliknya mencerminkan tekanan lebih luas dalam industri.

Terdahulu, Samsung turut mempertimbangkan kenaikan harga bagi beberapa telefon Galaxy. Khususnya siri kelas rendah dan pertengahan seperti Galaxy A dan M, susulan kenaikan harga modul DRAM.

Punca utama tekanan harga itu ialah peralihan kapasiti pengeluaran cip memori ke arah komponen berprestasi tinggi untuk pelayan AI, termasuk memori jalur lebar tinggi atau HBM.

Apabila pengeluar memfokuskan pengeluaran untuk permintaan AI yang semakin meningkat, bekalan DRAM standard untuk telefon pintar menjadi lebih terhad.

Tekanan terhadap rantaian bekalan itu juga dijangka berpanjangan. Menurut laporan yang memetik SK Group, kekurangan cip memori global boleh berlarutan sehingga 2030. Manakala satu lagi laporan menyatakan pengeluar memori hanya dijangka memenuhi sekitar 60% permintaan menjelang akhir 2027 walaupun pengeluaran terus ditingkatkan.

Jika keadaan itu berterusan, industri telefon pintar berdepan kemungkinan harga peranti kekal tinggi untuk tempoh beberapa tahun akan datang.

Tinggalkan komentar