Agak lumrah bagi kebanyakan pengguna memilih untuk berkongsikan langganan perkhidmatan penstriman bagi menjimatkan belanja. Namun, syarikat seperti Netflix tidak sukakannya kerana menjejaskan keuntungannya.
Rentetan dari laporan kehilangan pelanggan buat pertama kalinya dalam tempoh sedekad, syarikat berkenaan telah mengumumkan pada tahun ini mengenai rancangan untuk membanteras kegiatan perkongsian kata laluan.
Isu ini mula dikenalpasti oleh Netflix sejak dari tahun 2019. Namun, ditangguhkan kerana pada 2020, perkhidmatan penstriman ini menerima sejumlah besar pelanggan baharu berikutan penularan wabak pandemik yang memaksa lebih ramai pengguna duduk di rumah.
Bagaimanapun, kebelakangan ini nilai saham Netflix mengalami kemerosotan dan isu ini dilihat tidak lagi boleh dibiarkan begitu sahaja. Laporan terkini dari Wall Street Journal mengesahkan langkah membanteras perkongsian kata laluan ini akan mula dikuatkuasakan pada awal tahun 2023.
Langkah memperkenalkannya juga dilakukan secara beransur-ansur dan tidak dibuat secara melulu. Menerusi pelaksanaan sekatan perkongsian kata laluan ini, pengguna hanya dibenarkan berkongsi kata laluan dengan pengguna yang tinggal bersama. Penguatkuasaannya juga berdasarkan alamat IP, ID peranti dan aktiviti akaun pengguna.
Platform penstriman ini juga sedang menguji beberapa kaedah di rantau Amerika Latin bagi memastikan pengguna yang berkongsi kata laluan turut sama membayar terus kepada Netflix. Cuma harga yang dikenakan kelak dijangka lebih murah berbanding membayar langganan penuh secara individu. Beberapa ciri juga diperkenalkan bagi membolehkan pengguna dari isi rumah berlainan turut sama membayar.