Lebih setahun selepas menandatangani kerjasama strategik dengan Visa, Touch ‘n Go pada asalnya dijadualkan akan melancarkan kad prabayar Visa fizikal menjelang akhir Disember 2022. Beberapa perincian mengenai kad Visa baharu ini diketemukan di dalam laman soalan rasminya yang diterbitkan dua minggu lalu.
Menerusinya, kad Touch ‘n Go Visa ini akan dibuka permohonannya menerusi aplikasi Touch ‘n Go eWallet untuk individu yang tinggal di Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas.
Turut dinyatakan kad Visa berkenaan merupakan kad prabayar yang dihubungkan dengan baki Touch ‘n Go eWallet anda. Ini bermakna, anda perlu memastikan baki di dalam akaun e-dompet anda berkenaan mencukupi.
Bagaimanapun, anda perlu mengambil maklum bahawa kad Visa baharu ini tidak berfungsi seperti kad fizikal Touch ‘n Go biasa dan tidak boleh digunakan pada pembaca kad Touch ‘n Go.
Kad fizikal Touch ‘n Go Visa ini juga boleh digunakan di seluruh dunia di mana-mana tempat yang menerimanya, selain turut menyokong pembayaran nirsentuh melalui paywave.
Ia juga boleh digunakan untuk membuat pengeluaran tunai di mesin ATM yang menyediakan sokongan rangkaian Visa Plus. Bagaimanapun, ia dihadkan kepada 5 transaksi sahaja setiap hari dengan setiap transaksi dihadkan pada RM1,000 dan had maksimum harian RM5,000.
Buat masa ini tidak diketahui bilakah ia akan dilancarkan dan tidak dapat dipastikan jika disediakan dalam kuantiti yang terhad.