Utama Internet MOU Hexa-Equinix Pacu Kesalinghubungan antara Perniagaan di Asia-Pasifik dan Amerika Syarikat

MOU Hexa-Equinix Pacu Kesalinghubungan antara Perniagaan di Asia-Pasifik dan Amerika Syarikat

117
0

KUALA LUMPUR, 13 Disember 2024 – Hexa Capital Consultancy PLT (Hexa), pemilik kabel Malaysia-AS (MYUS) yang berpangkalan di Malaysia, dan Equinix, Inc. (Nasdaq: EQIX), syarikat infrastruktur digital global terkemuka®, mengumumkan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menyediakan kesalinghubungan langsung antara perniagaan di Asia-Pasifik dan Amerika Syarikat. Integrasi kabel MYUS ke dalam pusat data Equinix International Business Exchange™ (IBX®) di Malaysia, Indonesia dan Amerika Syarikat (AS) akan memberikan pelanggan MYUS akses langsung kepada ekosistem luas yang merangkumi penyedia gergasi perkhidmatan pengkomputeran, rangkaian dan kandungan serta perusahaan, sekali gus menggalakkan pertukaran digital antara kedua-dua rantau pasaran tersebut.

Landskap digital Asia Tenggara sedang mengalami pertumbuhan pesat, dipacu oleh penerapan teknologi digital dan kebangkitan ekonomi digital. Dengan populasi lebih 650 juta dan ekosistem syarikat pemula teknologi yang dinamik, rantau ini menawarkan peluang besar untuk pertumbuhan perniagaan dan inovasi. Bagaimanapun, bagi merealisasikan potensi revolusi digital, kesalinghubungan yang kukuh antara Asia Tenggara dan AS adalah mustahak untuk memudahkan pertukaran data, ilmu, dan idea, yang akan merancakkan kerjasama, memperluas capaian pasaran, dan merangsang pertumbuhan ekonomi.

Kerjasama antara Hexa dan Equinix bertujuan membolehkan perniagaan di Asia Tenggara memanfaatkan sumber, pasaran, dan kepakaran yang tersedia di AS, di samping membolehkan syarikat-syarikat AS mengakses pasaran Asia Tenggara yang rancak.

Kabel MYUS akan menghubungkan Malaysia dengan AS secara langsung buat pertama kalinya dengan jaringan gentian optik berkapasiti tinggi, seterusnya meningkatkan akses kepada perkhidmatan digital yang boleh dipercayai dan berpatutan di Asia Tenggara. Jaringan kabel itu akan meliputi Semenanjung Malaysia berhampiran Sedili, Johor, ke wilayah Guam di AS dan seterusnya ke Florence, Oregon. Di sepanjang laluan tersebut, MYUS juga akan menghubungkan Batam dan Jakarta di Indonesia, serta Davao di Filipina. Projek berkenaan dijangka beroperasi pada separuh kedua 2028, dengan fasa-fasa berikutnya akan memperluas jaringan ke Balikpapan, Hawaii, dan lokasi-lokasi lain melalui pembinaan kabel secara berfasa serta kerjasama strategik.

Equinix mengendalikan pusat data di Kuala Lumpur dan Johor di Malaysia; Jakarta di Indonesia; serta pusat-pusat data di Seattle, Washington, serta Silicon Valley dan Los Angeles, California di pantai barat AS. Dengan pusat-pusat data yang terletak berhampiran stesen pendaratan kabel, pelanggan MYUS dan penyedia perkhidmatan rangkaian dapat berhubung dengan ekosistem padat yang merangkumi lebih 10,000 syarikat di seluruh dunia.

  • Hexa juga menjalinkan kerjasama dengan pihak pendaratan Indonesia yang sedang membangunkan tapak pendaratan yang sesuai untuk beberapa pendaratan kabel, termasuk pendaratan untuk MYUS di Batam dan Jakarta. Tapak pendaratan Jakarta terletak di Tanjung Pakis, di timur Jakarta, iaitu berhampiran dengan JK1 yang terletak di bahagian selatan Jakarta Tengah.
  • Baru-baru ini, Hexa juga mengumumkan pelancaran MYUS Florence, Pendaratan Kabel Oregon, yang menjadi titik pengumpulan dan pengedaran strategik di Barat Laut Pasifik untuk trafik pemilik gentian berpasangan (FPO), yang menuju utara ke Seattle dan selatan ke Hillsboro, Silicon Valley, Los Angeles serta lokasi-lokasi lain. Kemudahan pusat data Equinix yang terletak di Seattle (SE2, SE3, SE4) dan Silicon Valley (SV1, SV2, SV3, SV4, SV5, SV8, SV10, SV11, SV14, SV15, SV16, SV17) dapat diakses dengan mudah melalui laluan gentian tambahan pihak ketiga yang terhubung ke Florence.

Kerjasama strategik baharu antara Hexa dan Equinix itu akan mengembangkan kesalinghubungan global dan memperbaiki infrastruktur internet di rantau Asia Tenggara, lantas menyediakan pautan penting antara awan, kandungan dan beban kerja pemprosesan digital yang terdapat di pusat-pusat data utama rantau ini. MYUS akan menaik taraf infrastruktur digital global dengan memperkukuh pertukaran data antarabangsa, mengurangkan kependaman dan menyediakan kesalinghubungan yang kukuh merentasi benua.

Pengasas & Ketua Pegawai Ekeskutif Hexa, Dr. Abang Azhari Hadari berkata, “Kabel MYUS direka khusus bagi menyediakan jaringan gentian langsung yang boleh dipercayai untuk penyedia gergasi perkhidmatan pengkomputeran, awan, dan kandungan global, serta pengendali telekomunikasi utama. Kami menjangkakan terdapat keserasian yang tinggi antara pelanggan Kabel MYUS dan pelanggan pusat data terbesar Equinix.”

Kini, Equinix mengendalikan lebih 60 pusat data yang terhubung dengan kabel bawah laut di 35 bandar utama. Berbekalkan kepakaran dalam sistem kabel, Equinix berperanan penting dalam mengurangkan kos operasi sistem pendaratan kabel serta menguruskan lokasi pendaratan.  

Pengarah Urusan Equinix Malaysia, Cheam Tat Inn berkata, “Di Equinix, kami memahami peranan penting kabel bawah laut dalam ekonomi global hari ini. Kami berbangga dapat memanfaatkan kepakaran dan pengalaman luas kami dalam menyediakan kabel dasar laut bagi menyokong projek Kabel MYUS. Dengan menyediakan penyelesaian kesalinghubungan yang boleh dipercayai dan cekap, kami membantu perniagaan berkembang dalam era digital dan membuka peluang baharu di pasaran global.”

Hexa kini dalam proses memuktamadkan pelanggan gentian berpasangan, merundingkan kontrak bekalan sistem, dan menyelesaikan pembiayaan untuk pelaksanaan projek penuh yang dijangka selesai pada 2025.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.