Kerajaan Malaysia secara rasminya telah melancarkan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) pada 12 Disember 2024 menerusi sebuah majlis yang diadakan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Majlis pelancaran tersebut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Digital Gobind Singh Deo, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.
NAIO ditubuhkan sebagai agensi pusat untuk AI, seiring dengan Malaysia mengorak langkah sebagai hab serantau untuk pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI). Menurut laman web rasmi agensi berkenaan, peranan utama agensi merangkumi Pelan Tindakan Teknologi AI 2026 – 2030, kajian dan pembangunan serta kawal selia penerimaan AI. Buat masa ini NAIO ditempatkan di lokasi yang sama dengan MyDIGITAL Corporation di bawah Kementerian Digital di Putrajaya.
Perdana Menteri berkata anjakan paradigma diperlukan untuk memacu teknologi AI di Malaysia. Selain itu, jurang digital di antara golongan elit di bandar dan golongan miskin di bandar dan luar bandar termasuk kawasan pedalaman juga harus ditangani dengan tuntas.
Selain itu, NAIO turut berperanan membantu melonjakkan ekosistem dan ekonomi digital di Malaysia yang dijangka menyumbang 23% untuk keluaran dalam negeri kasar (KDNK) pada tahun hadapan dan RM120 billion menjelang 2030.
Dalam pada masa yang sama, kerajaan turut mengumumkan kerjasama strategik dengan enam syarikat termasuk Toshiba, The Hive dan YTL. Tiga lagi syarikat iaitu Amazon, Google dan Microsoft telah pun mengumumkan projek pusat data, awanan dan AI di Malaysia beberapa tahun yang lepas.
Imej dari Facebook Kementerian Digital