Laman web permainan berasaskan flash, Miniclip secara rasminya menutup pelayannya yang menempatkan sejumlah permainan-permainan berasaskan flash secara dalam talian. Miniclip sinonim bagi generasi yang membesar di era millenium dan sering menjadi punca pelajar hilang tumpuan ketika berada di dalam makmal komputer sekolah.
Jika anda pergi melihat laman web Miniclip sekarang, hanya terdapat dua permainan sahaja yang kini tinggal iaitu 8 Ball Pool dan Agar.io. Ini amat jauh berbeza dengan penawarannya satu ketika dahulu yang penuh dengan kepelbagaian permainan berasaskan flash.
Terdapat dua faktor yang mendorong kepada kejatuhan Miniclip. Pertamanya adalah disebabkan oleh penutupan Adobe Flash pada hujung 2020. Ia mengakibatkan sokongan untuk Flash Player pada tidak lagi disediakan. Justeru, permainan-permainan berkenaan tidak lagi mampu dimainkan pada pelayar web moden apabila dunia mula beralih ke HTML 5.
Satu lagi punca yang menyebabkan keadaan ini berlaku adalah disebabkan oleh pengguna muda pada hari ini dihidangkan dengan lebih banyak media elektronik berbanding era millenium dahulu. Akses ke internet adalah satu perkara lazim dan bukannya teknologi mewah yang hanya boleh didapati oleh sebilangan pengguna.
Walaubagaimanapun, syarikat Miniclip masih lagi wujud dan beroperasi dengan baik tanpa perlu bergantung kepada laman web permainan flash tersebut. Ia kini sedang menumpukan penerbitan mudah alih dengan pejabat-pejabatnya mempunyai cawangan di seluruh dunia. Antara pencapaiannya pada tahun ini adalah menerusi pembelian penerbit permainan mudah alih popular, Subway Surfer pada Jun lalu.