Home Komputer Microsoft umumkan Office 2019, khusus untuk pengguna yang tak nak langgan Office...

Microsoft umumkan Office 2019, khusus untuk pengguna yang tak nak langgan Office 365

412
0

Microsoft ni perangai dia memang lagi suka kalau kita melanggan untuk gunakan produk-produknya. Antara produk popularnya yang boleh dilanggan adalah Office 365. Namun begitu, tidak semua pengguna yang gemar melanggan untuk menggunakan perkhidmatan dari Microsoft ini.

Oleh yang demikian, pihak Microsoft telah mengumumkan akan melancarkan perisian produktiviti, Microsoft 2019 sekitar pertengahan tahun 2018 nanti. Perisian-perisian yang terkandung di dalam suite ini termasuklah Word, Excel, PowerPoint, Outlook, berserta perisian-perisian berasaskan pelayan seperti Exchange, SharePoint, dan Skype for Business.

Pada kebiasaannya, Microsoft turut menyediakan pelbagai jenis variasi Office, termasuk khusus untuk Apple Mac. Namun, masih belum ada kata putus dari pihak eksekutif jualan.

Microsoft menggelarkan Office 2019 sebagai aplikasi “perpetual” disebabkan pengguna hanya akan membayarnya sekali sahaja dan bukannya membayar secara langganan. Setakat ini, masih tiada lagi pengumuman berkenaan harganya dan untuk Office Home & Bussiness 2016, harga yang ditawarkan sekarang adalah RM1,399. Manakala bagi Office 365 Home pula, yuran langganannya RM379.99 untuk setahun.

Sesetengah pengguna lebih gemar menggunakan perisian seperti Office 2016 berbanding perisian berasaskan langganan sebagaimana yang ditawarkan oleh Office 365. Lagipun, perubahan-perubahan yang ditawarkan di antara versi-versi Office (2016, 2013, 2010 dan 2007 misalnya) ini tidaklah begitu drastik sehingga menjejaskan produktiviti.

Pengguna yang melanggan Office 365 pula mempunyai kelebihan sentiasa menerima kemaskini penambahan fungsi-fungsi baru yang disediakan dari masa ke semasa. Selain itu, lesennya juga boleh dipasang pada lebih dari satu peranti. Misalnya, pengguna boleh juga menggunakan lesen berkenaan pada telefon pintar selain dari menggunakannya pada PC.

Apa pun, ia terpulang kepada kesesuaian pengguna untuk memperolehinya asalkan segala apa yang ditawarkan oleh perisian Office ini dapat membantu menyiapkan segala tugasan-tugasan dengan lebih mudah.

Sumber berita diperoleh dari The Verge

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.