Microsoft telah mengumumkan ciri autocomplete di dalam Excel versi web Microsoft 365 (dahulu dikenali sebagai Microsoft Office 365) kini lebih pintar. Ciri ini berkesinambungan dengan ciri formula suggestions dan formula by example yang diumumkan baru-baru yang boleh digunakan untuk membantu mengautomasikan beberapa tugasan.
Menghasilkan formula merupakan salah satu ciri yang paling banyak digunakan di dalam Microsoft Excel kerana ia banyak membantu pengguna menguruskan rekod dan juga tugasan-tugasan lain.
Formula suggestions akan memberikan cadangan kepada anda apabila anda menaipkan tanda sama dengan (=) di dalam cell Microsoft Excel. Microsoft Excel versi web seterusnya akan memberikan cadangan pintar untuk memasukkan formula sesuai yang boleh anda masukkan.
Misalnya, jika anda mempunyai angka jualan-jualan dan terdapat satu kolum berlabel “total”, Excel akan mencadangkan untuk anda menjumlahkan keseluruhan cell tersebut. Ciri ini bagaimanapun terhad untuk Bahasa Inggeris sahaja dan ia akan memberikan cadangan pengiraan formula yang melibatkan sum, average, count, counta, min, dan max.
Turut diperkenalkan Formula by Example yang mirip dengan ciri Flash Fill yang secara automatik mengesan paten di dalam data dan mengisikan maklumat selebihnya ke dalam kolum. Ciri ini agak sukar digambarkan dengan kata-kata, dan anda mungkin dapat memahaminya dengan lebih jelas menerusi video berikut.
Selain dari ciri tersebut, Microsoft juga akan menambah ciri baharu jenis data tersarang (nested data type) Power Query dan keupayaan mendapatkan data dari tatasunan dinamik (dynamic array) tidak lama lagi.