Microsoft menerbitkan kemaskini yang menyekat aplikasi EdgeDeflector. Aplikasi ini digunakan untuk membolehkan pengguna menggunakan pelayar pilihan masing-masing tanpa dihadkan pada Microsoft Edge sahaja.
Di dalam Windows 11, Microsoft telah menjadikan penetapan pelayar selain dari Microsoft Edge amat sukar dilakukan. Malah ia turut memberi kesan terhadap keputusan hasil carian dari menu Start.
Sekatan terhadap EdgeDeflector pertama kali muncul pada pengguna Beta dan Release Preview pada minggu lepas. Ia kini telah menjadi sebahagian dari kemaskini Windows 11 yang akan datang.
Pembangun aplikasinya, Daniel Aleksandersen, mendakwa usaha Microsoft menjadikan Edge sebagai pelayar lalai terlalu agresif. Menurut beliau:
“Edge will even ‘declutter’ your browser settings, as Microsoft calls it, and unpin competitors from the taskbar and replace the pinned apps with Edge,”
Daniel turut berpendapat, pelaksanaan fungsi seakan-akan aplikasi beliau pada pelayar Mozilla Firefox dan Brave telah menarik perhatian Microsoft hingga membawa kepada sekatan ini.
Menurut jurucakap Mozilla kepada The Verge, “Orang ramai berhak mempunyai pilihan. Mereka perlu mempunyai hak untuk menetapkan pilihan secara lalai dengan mudah dan hak memilih wajib dipelihara,”
Firefox sebelum ini telah memperkenalkan fungsi yang membolehkan penggunanya menetapkan Firefox sebagai pelayar lalai dengan hanya satu klik sahaja. Tetapi, dengan kemaskini terbaru pada Windows 11 ini, fungsi berkenaan mungkin tidak dapat dilakukan lagi.
Jika anda menggunakan EdgeDeflector pada Windows 11 dan terkesan dari kemaskini ini, anda mungkin boleh mencuba aplikasi MSEdgeRedirect.