Microsoft meminta kira-kira 800 orang pekerjanya yang berpangkalan di China untuk mempertimbangkan berpindah ke negara lain. Permintaan ini dibuat dalam keadaan pertambahan senarai sekatan oleh Washington terhadap kuasa besar ekonomi Asia tersebut, terutama dalam bidang teknologi.
Menurut laporan Wall Street Journal (WSJ), Microsoft meminta pekerja-pekerjanya yang berpangkalan di China sama ada dapat mempertimbangkan untuk berpindah ke negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, Ireland, Australia, dan New Zealand.
“Menyediakan peluang di peringkat dalaman adalah merupakan sebahagian daripada kaedah pengurusan perniagaan global kami. Sebagai sebahagian daripada proses ini, kami berkongsi peluang pemindahan dalaman yang bersifat pilihan dalam kalangan pekerja,” menurut kenyataan Microsoft kepada Reuters. “Microsoft kekal komited terhadap China dan akan meneruskan operasinya di negara berkenaan dan juga pasaran-pasaran lain.
Sejak Amerika Syarikat (AS) meletakkan Huawei Technologies dari China ke dalam senarai sekatan, pentadbiran Biden telah menambah senarai tersebut untuk merangkumi bukan sahaja syarikat China, malahan turut melibatkan syarikat-syarikat yang berpangkalan di AS. Sekatan ketat tersebut telah menghalang pihak-pihak yang terkesan daripada menjalankan perniagaan dengan syarikat-syarikat China, terutamanya dalam sektor kecerdasan buatan (AI)
NVIDIA merupakan salah satu daripada sejumlah syarikat yang menerima kesan daripada sekatan tersebut. Pada mulanya, larangan dikenakan terhadap penjualan RTX 4090 di China. Namun kini, syarikat berkenaan menghadapi kesukaran untuk menjual RTX 4090D, kad grafik yang telah dikurangkan kuasanya dan dibuat khusus untuk pasaran China untuk memenuhi keperluan kecerdasan buatan (AI) baharu.