Yoodo, syarikat telekomunikasi digital yang popular dengan tawaran membenarkan pengguna mengubahsuai pelan mengikut kesesuaian, akan menghentikan operasinya dalam beberapa bulan yang akan datang.
Berdasarkan notis yang diterbitkan di laman web rasminya, jenama Yoodo akan ditamatkan mulai 29 Ogos 2024. Ia merupakan sebahagian daripada komitmen kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selepas penggabungan Celcom dan Digi.
Buat masa ini, pelanggan-pelanggan Yoodo yang sedia ada masih boleh menikmati perkhidmatan data, panggilan suara dan SMS menggunakan rangkaian CelcomDigi tanpa gangguan sehingga diberitahu kelak. Butiran lanjut termasuk pilihan peralihan akan dimaklumkan kepada pelanggan pada 17 Jun 2024 kelak.
Update on Yoodo Brand and Services pic.twitter.com/5D3e3bTFEt
— Yoodo (@yoodoMY) May 17, 2024
Dijangkakan pelanggan Yoodo sedia ada nanti mungkin akan ditawarkan dengan pilihan untuk beralih ke salah satu tawaran prabayar CelcomDigi.
Yoodo perlu dijual dalam tempoh 18 bulan selepas proses penggabungan CelcomDigi selesai
SKMM pada Jun 2022 telah mengumumkan, Yoodo yang merupakan MVNO di bawah Celcom, perlu dijual dalam tempoh 18 bulan selepas penggabungannya dengan Digi selesai. Penggabungan CelcomDigi selesai dilaksanakan pada 30 November 2022 dan bulan ini adalah bulan tamatnya tempoh 18 bulan tersebut.
Penjualan ini adalah antara syarat yang ditetapkan oleh SKMM untuk penggabungan CelcomDigi bagi menangani kebimbangan mengenai pengurangan persaingan dalam industri telekomunikasi di Malaysia.
Komitmen lain yang telah ditetapkan termasuk Celcom dan Digi perlu menubuhkan unit perniagaan bebas yang berasingan untuk menguruskan perniagaan Mobile Virtual Network Operator (MVNO) mereka bagi memastikan pemisahan yang jelas dari perniagaan telekomunikasi runcit yang telah digabungkan.
Penjualan Yoodo merangkumi semua aset ketara dan tidak ketara termasuk hak harta intelek, pengambilan kakitangan, kontrak, pajakan dan pelanggan-pelanggannya. Untuk memastikan kesinambungan jenama, CelcomDigi diwajibkan untuk mendapatkan pembeli baru yang bebas daripada Celcom, Digi dan pihak berkepentingannya. Jika gagal, mereka perlu menghentikan operasi Yoodo dalam tempoh 3 bulan dari tamat tempoh penjualan, iaitu pada Ogos 2024.
Pada Ogos tahun lalu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CelcomDigi Datuk Idham Nawawi memberitahu terdapat banyak pihak dari dalam dan luar negara yang telah menunjukkan minat untuk mendapatkan pemilikan Yoodo. Beliau menyatakan bahawa Yoodo merupakan jenama yang mempunyai identiti yang sangat kuat dalam eSukan. Beliau juga berharap pemilik Yoodo yang seterusnya merupakan pihak yang boleh membawa jenama ini ke tahap yang lebih tinggi berdasarkan sumber yang ada untuk mengembangkan jenama tersebut.
Bagaimanapun, berdasarkan pengumuman baharu ini CelcomDigi dilihat gagal mendapatkan pemilik baru untuk mengambil alih jenama telekomunikasi digital ini. Yoodo ditubuhkan oleh Celcom pada 2018 dan kekal sebagai salah satu jenama telekomunikasi yang popular dengan pelan mampu milik yang boleh disesuaikan. Ia juga terkenal dengan tawaran 20GB untuk RM20 yang kini ditawarkan dengan akses 5G percuma.