Microsoft HoloLens US Army
Microsoft/DoD

Tentera Amerika Syarikat tidak lama lagi akan dilengkapkan dengan set kepala Microsoft HoloLens yang diubahsuai. Penambahbaikan ini merupakan sebahagian dari kontrak 10 tahun d antara Jabatan Pertahanan dengan Microsoft.

Menurut Pentagon, pihak Microsoft akan membekalkan sejumlah 120,000 unit realiti imbuhan (augmented reality, AR) kepada Tentera AS bernilai $21.88 billion.

Pengumuman ini susulan dari perjanjian bernilai $480 juta di antara Microsoft dengan Jabatan Pertahanan bagi membangunkan Integrated Visual Augmented System (IVAS). Sistem berkenaan dibangun berasaskan set kepala HoloLens standard dan diimbuh menggunakan Azure Cloud Services.

Program tersebut mampu meningkatkan penilaian situasi, perkongsian maklumat, serta kecekapan membuat keputusan segera dalam pelbagai senario, menurut Felo Teknikal Microsoft, Alex Kipman. Justeru, ianya membolehkan para pemerintah medan berkongsikan data taktikal dan sasaran dengan askar di lapangan selain menyediakan keupayaan pandangan malam.

Tambah beliau lagi, usaha sama erat Microsoft dengan Tentera AS sejak dua tahun lalu telah merintis penubuhan Soldier Centered Design. Ianya mampu mempercepatkan penghasilan prototaip bagi menyediakan barisan tentera dengan alatan dan keperluan untuk menjayakan sesebuah misi.

Microsoft turut mengesahkan kepada Bloomberg News bahawa peranti-peranti berkenaan akan dihasilkan sepenuhnya di Amerika Syarikat. Setakat ini masih belum diketahui bila peranti-peranti ini akan mula digunakan oleh para anggota U.S. Army Close Combat Force.

Dalam perkembangan berkaitan, sebahagian besar warga kerja Microsoft menentang keputusan syarikat untuk bekerjasama dengan sektor ketenteraan A.S.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.