Xiaomi Mi Mix Fold

Selain dari melancarkan siri Mi 11 yang merangkumi Mi 11 Ultra, Mi 11 Pro, Mi 11i, Mi 11 Lite 5G, dan Mi 11 Lite, Xiaomi turut melancarkan telefon boleh lipat pertamanya, Mi Mix Fold.

Xiaomi menempatkan telefon boleh lipat ini sebagai peranti mercu, justeru ianya menggunakan cipset Qualcomm Snapdragon 888. Ia turut dilengkapkan dengan paparan fleksibel OLED WQHD+ 8.01-inci 60Hz pada sebelah dalam. Manakala bahagian luarnya pula dilengkapkan dengan paparan AMOLED 6.5-inci 90Hz beresolusi 2520 x 840.

Bagi memastikan kelasakannya, terutama pada rekaan engsel berbentuk U, Xiaomi telah menjalankan ujian ketahanan sebanyak 1 juta kali lipatan. Telefon yang dilengkapkan dengan RAM LPDDR5-3200 sehingga 16GB dan storan UFS 3.1 512GB ini turut menyokong 5G dan Wi-Fi 6.Xiaomi Mi Mix Fold Black

Penggunaan cipset Xiaomi Surge C1

Pelancaran Mi Mix Fold turut menandakan kehadiran cip buatan Xiaomi sendiri iaitu Surge C1. Cip yang mengambil masa selama dua tahun untuk dibangunkan ini menyediakan algoritma 3A yang dipertingkatkan. Serta ianya meningkatkan keupayaan pemfokusan pencahayaan rendah yang turut menambahbaik fokus autonya dan seterusnya menghasilkan imej yang lebih berkualiti.Xiaomi Surge C1

Bukan itu sahaja, Xiaomi mendakwa Mi Mix Fold merupakan peranti pertama yang menggunakan teknologi optik Liquid Lens. Dilengkapkan dengan penderia 8MP, lensa tersebut diperbuat daripada cecair lutsinar yang lengkungannya dikawal menggunakan motor berketepatan tinggi. Ini membolehkan fungsi telefotonya berkeupayaan zum optikal 3x hingga zum otikal maksimum 30x.

Kamera Liquid Lens 8MP ini juga boleh berperanan sebagai kamera makro dengan jarak fokus sehampir 3cm. Selain itu, Xiaomi turut melengkapkan Mi Mix Fold dengan penderia 108MP Samsung ISOCELL HM2 sebagai kamera utama dan kamera ultra-lebar 13MP. Di hadapannya pula disediakan sebuah kamera swafoto 20MP.

Telefon boleh lipat ini juga didatangkan dengan sistem kuad-speaker yang telah diberi penalaan oleh Harman Kardon, serta ditingkatkan oleh penguat Smart PA 15V. Pengimbas cap jari Mi Mix Fold juga diintegrasikan ke dalam butang kuasa di sebelah sisinya. Melengkapkan spesifikasinya, sebuah bateri berkapasiti 5,020 mAh turut disediakan dengan keupayaan pengecasan berwayar 67W.

Tarikh pelancaran antarabangsa Mi Mix Fold masih lagi belum diketahui sungguhpun ianya akan dilancarkan di China pertengahn April ini pada harga CNY 9,999 (~RM 6,320) hingga CNY 12,999 (~RM 8,192).

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.