Kuala Lumpur, Malaysia, 8 Mac 2024 – Persekutuan Perdagangan dan Industri Wanita Antarabangsa Malaysia (International Women’s Federation of Commerce and Industry Malaysia, IWFCIM) dan Microsoft telah melancarkan inisiatif kemahiran Ready4AI&Security. Sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024, pelancaran bertemakan “Inspire Inclusion” menandakan peristiwa penting dalam merapatkan jurang antara institusi pendidikan dan permintaan industri untuk profesional mahir dalam Generatif AI dan keselamatan siber.
Inisiatif Ready4AI&Security disasarkan untuk menyediakan 200 tenaga pengajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan pengetahuan dalam bidang Generatif AI dan Keselamatan Siber. Para pendidik kemudiannya akan menyampaikan pengetahuan ini kepada 5,000 pelajar TVET, termasuk 60% pelajar perempuan dari institusi TVET seperti UniKL, Kolej Kemahiran Tinggi MARA, politeknik, dan kolej komuniti di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Kommuniti, Kementerian Pengajian Tinggi.
“Saya gembira dapat memainkan peranan dalam merapatkan bahagian permintaan perniagaan dan bahagian penawaran institusi pendidikan dalam menangani jurang digital kemahiran untuk masa depan kerja dan cabaran keselamatan siber yang sentiasa berterusan dalam dunia kita yang terhubung hari ini. Dan ia lebih bermakna untuk dapat melakukan ini dengan 60 peratus penyertaan wanita,” kata Salwana Ali, Presiden, IWFCIM.
Pelajar TVET akan menjalani program latihan 32 jam yang komprehensif meliputi Pematuhan Keselamatan dan Asas Identiti Microsoft serta pembelajaran AI generatif kendiri.
“Inisiatif Ready4AI&Security Malaysia adalah cerminan komitmen Microsoft untuk memastikan rakyat Malaysia dilengkapi dengan kemahiran untuk berkembang maju dalam ekonomi yang didayakan AI yang semakin berkembang. Melalui kerjasama dengan IWFCIM ini, kami mensasarkan bukan sekadar untuk memperkasakan pelajar dengan kemahiran AI dalam permintaan dan memastikan kebolehpasaran dalam masa terdekat, malah boleh menyumbang kepada ekosistem digital yang lebih selamat dan berdaya tahan melalui kesedaran di dalam keselamatan siber,” ujar Azizah Ali Ketua Pegawai Operasi Microsoft Malaysia.
Permintaan terhadap AI serta keperluan untuk keselamatan siber, inisiatif Ready4AI&Security membuka peluang dalam melengkapkan generasi muda dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan apabila mereka melangkah ke dalam tenaga kerja.
Selain itu, dengan sasaran 60 peratus penyertaan wanita, kerjasama antara IWFCIM dan Microsoft ini turut bertujuan menyumbang kepada pembinaan masa depan digital yang lebih selamat dan inklusif.
Ready4AI&Security Malaysia merupakan sebahagian daripada inisiatif Peningkatan Kemahiran Keselamatan Siber oleh Microsoft Philanthropy. Ia bertujuan untuk menyediakan geran kepada organisasi tidak berasaskan keuntungan (NGO) untuk membantu meningkatkan kemahiran individu-individu untuk tenaga kerja keselamatan siber.
Inisiatif berkenaan baru-baru ini juga telah dikembangkan ke Argentina, Chile, Sepanyol, Indonesia dan kini, Malaysia. Melalui perluasan ini, Microsoft kini bekerjasama dengan lebih banyak NGO dan institusi pendidikan di seluruh ASEAN bagi menyediakan lebih ramai tenaga pakar pakar keselamatan siber profesional untuk generasi akan datang.