KUALA LUMPUR, 7 Mac 2024 – Kementerian Digital dan agensi yang terlibat dalam Majlis Ekonomi Digital Negara (MED4IRN) sedang mengambil tindakan untuk memastikan pelaksanaan program dan dasar yang telah diluluskan mencapai objektif yang disasarkan.
Menterinya, Gobind Singh Deo berkata antara pencapaian MED4IRN pada 2023 ialah meluluskan pelaksanaan insiatif jendela tunggal untuk menyelaraskan dan menyusun semula fungsi terutama berkaitan kerjasama rentas agensi dan penggiat bagi memperkukuh ekosistem syarikat pemula niaga serta meningkatkan penglibatan syarikat pemula niaga tempatan.
“Kedua, mempercepat pelaksanaan projek pembangunan Identiti Digital Nasional (IDN), iaitu sistem berbentuk pengenalan dan pengesahan diri secara digital dengan merujuk sumber tunggal yang sahih berdasarkan ciri-ciri biometrik individu,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) mengenai pencapaian MED4IRN tahun lepas.
Gobind berkata majlis itu turut meluluskan cadangan pembangunan pelan tindakan KL20 yang menyasarkan Malaysia berada pada kedudukan 20 teratas dalam ekosistem syarikat pemula global menjelang 2030.
Pelan itu yang menggariskan usaha membangunkan Kuala Lumpur sebagai hab syarikat pemula dan digital serantau akan dilancarkan bulan depan, katanya.
Beliau berkata MED4IRN turut mengenal pasti usaha mengukuhkan ekosistem modal teroka untuk dipertimbangkan kerajaan, mengambil maklum kedudukan ekosistem pembiayaan modal teroka yang merangkumi pembiayaan daripada sektor awam dan swasta.
Mesyuarat MED4IRN bersidang dua kali pada 2023 dengan penglibatan menteri, pengerusi kluster, menteri yang memegang portfolio inisiatif digital dan IR4.0 serta wakil sektor swasta selain peserta industri, ahli akademik, kumpulan pemikir dan pertubuhan masyarakat sivil, katanya. – Bernama