Microsoft sedang melakukan perubahan besar dalam pejenamaan Microsoft Office. Selepas lebih dari 30 tahun, Microsoft Office dijenamakan semula sebagai Microsoft 365 sesuai dengan pertambahan aplikasi-aplikasi produktiviti dibawahnya.
Sungguhpun aplikasi-aplikasi seperti Excel, Outlook, Word, dan PowerPoint masih dikekalkan, Microsoft kini merujuk aplikasi-aplikasi berkenaan sebagai sebahagian dari Microsoft 365 dan bukannya Microsoft Office lagi.
Penjenamaan baharu ini telah pun diusahakan sejak beberapa tahun yang lalu dengan langganan Office 365 dijenamakan semula sebagai Microsoft 365 dua tahun lalu. Cuma kini perubahannya adalah lebih menyeluruh dengan Office.com, aplikasi mudah alih Office dan aplikasi Office untuk Windows akan menjadi aplikasi Microsoft 365. Lengkap dengan ikon, wajah dan ciri baharunya.
Ini bermakna, jika anda menggunakan mana-mana aplikasi Office yang dikhaskan, kesemua aplikasi berkenaan akan dijenamakan sebagai Microsoft 365 tidak lama lagi dengan logo baharunya. Perubahan rekaan dengan logo baharu tersebut akan muncul di Office.com pada November ini dan disusuli oleh aplikasi Office pada Windows, iOS dan Android pada Januari tahun depan.
Microsoft 365 akan memayungi aplikasi-aplikasi seperti Teams, Word, Excel, PowerPoint, Outlook, Loop, Clipchamp, Stream, dan aplikasi baharu Microsoft, Designer. Pusat kepada aplikasi Microsoft 365 untuk mudah alih dan desktop kelak akan menyertakan suapan dari rakan sekerja dan mesyuarat berkaitan, hab untuk fail dan dokumen anda, serta penandaan tersuai untuk kumpulan dan juga menguruskan kandungan.
Pun begitu, jenama Microsoft Office ini tidak akan hilang begitu sahaja. Microsoft akan terus menawarkan pembelian sekali gus suit produktiviti aplikasi Office untuk pengguna biasa dan perusahaan menerusi Office 2021 dan pelan Office LTSC. Cuma Microsoft Office akan menjadi jenama legasi untuk Microsoft dan ini bermakna jika ada terdapat sebarang ciri baharu diumumkan, ia akan hadir ke Microsoft 365 dan bukannya pada Microsoft Office.