Microsoft telah menghasilkan aplikasi Windows untuk sistem operasi iOS, iPadOS, macOS, Windows dan pelayar web. Aplikasi berkenaan secara asasnya merupakan aplikasi Windows 365 sebelum ini yang boleh dijadikan sebagai hab berpusat untuk menstrimkan salinan Windows dari sesebuah PC, Azure Virtual Desktop, Windows 365, Microsoft Dev Box, dan Microsoft Remote Desktop Services secara jarak jauh.
Sokongan untuk berbilang monitor juga disediakan menrusi aplikasi Windows ini, bersama-sama resolusi dan pembesaran paparan tersuai dan pelencongan (redirection) peranti untuk periferal seperti kamera web, peranti storan dan pencetak. Versi pra-tonton untuk aplikasi ini buat masa ini tidak tersedia untuk sistem operasi Android.
Aplikasi Windows ini juga terhad untuk akaun-akaun pengguna jenis perniagaan Microsoft, namun terdapat ura-ura ia akan ditawarkan kepada pengguna biasa kelak. Daftar masuk yang diajukan di dalam aplikasi Windows di dalam sistem operasi Windows menunjukkan pengguna mungkin boleh mengakses menggunakan akaun peribadi Microsoft. Bagaimanapun, fungsi berkenaan tidak boleh digunakan buat masa ini.
Microsoft sebelum ini mempunyai aplikasi yang sama untuk menyambungkan ke PC secara jarak jauh yang dikenali Remote Desktop Connection yang didatangkan bersama-sama di dalam Windows. Pengenalan kepada aplikasi Windows baharu ini mungkin menandakan Microsoft berhasrat membawakan Windows ke dalam awanan sepenuhnya di masa hadapan.
what’s the future of Windows? Well, Microsoft has released a Windows App that lets you stream Windows 365 to an iPhone, iPad, Mac, PC, or browser. It doesn’t support consumer accounts yet, but that feels inevitable at this point https://t.co/KeUN1JYn08 pic.twitter.com/wdfW3bTbWM
— Tom Warren (@tomwarren) November 15, 2023
Sebuah pasukan khas untuk Windows berasaskan web telah diwujudkan oleh Microsoft selepas Ketua Bahagian Surface dan Windows Panos Panay berpindah ke Amazon pada September lalu. Pasukan “Pengalaman Windows dan Web” baharu ini dilihat memberikan tumpuan khusus membangunkan perkhidmatan web berkuasa AI untuk Windows.
Buat masa ini terdapat sejumlah ciri yang dikuasakan secara web hadir di dalam Windows 11 seperti antaramuka carian utama yang dikemaskini secara dinamik daripada web, sistem widget dan integrasi Copilot.