Meta telah melancarkan program Meta Verified di Malaysia, langganan tanda calit biru yang sebelum ini hadir di beberapa buah negara terpilih awal tahun ini. Ia bertujuan memberikan pengguna ‘rasa lebih tulen’ melalui proses pengesahan identiti sebenar pengguna.
Berdasarkan laporan dari Amanz yang telah melepasi senarai menunggu dan seterusnya boleh melanggan, Meta Verified berharga RM41.99 melalui aplikasi mudah alih.
Bagaimanapun, menurut portal Lowyat pula yang mengakses halaman langganan menerusi pelayar web mendapati harga langganannya adalah RM36.99 sebulan. Tidak dapat dipastikan sama ada terdapat perubahan harga langganan yang tidak diumumkan atau disebabkan terdapat perbezaan antara akses dari pelayar web dengan daripada aplikasi mudah alih.

Anda yang berminat untuk memasuki senarai menunggu boleh memberikan foto kad pengenalan (MyKad) anda kepada Meta untuk pengesahan identiti. Pengguna yang layak perlu berusia 18 tahun dan ke atas, mengaktifkan pengesahan dua-faktor, pernah membuat hantaran, dan hanya nama sebenar sahaja yang boleh digunakan untuk akaun anda.
Langganan Meta Verified ini tidak boleh digunakan secara bersama di antara akaun Instagram dan Facebook anda. Atas sebab itu, anda perlu membeli langganan yang berbeza untuk kedua-dua platform berkenaan. Untuk pengguna yang mempunyai akaun yang banyak di dalam kedua-dua platform tersebut, setiap akaun berkenaan perlu mempunyai langganan Meta Verified masing-masing.