Kementerian Komunikasi telah mengeluarkan arahan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta syarikat telekomunikasi (telco) untuk menyelesaikan isu capaian internet di sepanjang laluan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) KL Sentral-Segamat dalam tempoh satu bulan bermula 19 April 2026.
Langkah proaktif ini diambil bagi menyelesaikan aduan pengguna berhubung kualiti rangkaian yang lemah. Ia sekali gus memastikan penumpang mendapat liputan internet yang stabil dan berterusan sepanjang perjalanan menaiki kereta api.
Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, “Kementerian akan menggunakan prinsip ‘di mana ada tren, di situ ada internet’ dalam usaha untuk meningkatkan liputan internet di sepanjang laluan tersebut”.
Beliau turut menjelaskan bahawa pelaksanaan ini merupakan kesinambungan daripada dasar kerajaan sebelum ini yang memfokuskan prinsip ‘di mana ada jalan, di situ ada internet’ bagi infrastruktur jalan raya.
Tempoh maksimum satu bulan telah diberikan kepada MCMC dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk menyelesaikan masalah titik buta (blind spot) internet.
Arahan ini susulan sesi ujian kelajuan capaian internet yang dijalankan secara terus di laluan ETS KL Sentral-Segamat baru-baru ini.
Objektif utama langkah ini adalah untuk memastikan pengguna Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berasa lebih selesa, dan kekal terhubung dengan keluarga. Dalam pada masa yang sama boleh melakukan kerja secara dalam talian dengan lancar ketika dalam perjalanan.









