Samsung Galaxy S27 Ultra dilaporkan berpotensi menjadi model Galaxy Ultra pertama yang menerima bateri berasaskan silikon-karbon.

Ura-ura ini berdasarkan laporan awal yang merujuk kepada ujian peringkat dalaman bagi teknologi bateri baharu itu.

Perkembangan ini hadir selepas Samsung dilihat masih mengekalkan kapasiti 5,000mAh pada beberapa generasi model mercunya sebelum ini. Sekali gus menjadikan peningkatan bateri sebagai antara fokus utama bagi siri Galaxy S akan datang.

Laporan berkaitan menyebut Samsung sedang menguji beberapa sel bateri silikon-karbon berkapasiti tinggi. Antaranya 12,000mAh, 18,000mAh dan 20,000mAh. Namun angka tersebut dilihat merujuk kepada peringkat ujian sel dan bukannya kapasiti akhir peranti komersial.

Dalam pada masa sama, anggaran yang lebih realistik untuk Galaxy S27 Ultra dikatakan sekitar 5,500mAh hingga 7,000mAh. Bergantung pada reka bentuk dan ketebalannya kelak.

Teknologi silikon-karbon lazimnya digunakan untuk meningkatkan ketumpatan tenaga. Ia membolehkan bateri menyimpan lebih banyak kuasa dalam ruang fizikal yang hampir sama berbanding bateri litium-ion konvensional.

Jika diterapkan pada Galaxy S27 Ultra, pendekatan ini berpotensi memberi masa penggunaan lebih panjang tanpa menambah ketebalan telefon.

Menurut laporan dari PhoneArena, satu konfigurasi bateri sekitar 6,699mAh dengan ketebalan 4.2mm dilihat sebagai bersesuaian untuk peranti mercu Galaxy generasi seterusnya.

Selain bateri, beberapa laporan awal turut mengaitkan Galaxy S27 Ultra dengan cip Snapdragon generasi baharu serta peningkatan kecekapan kuasa. Bagaimanapun, maklumat tersebut masih belum dikenalpasti kesahihannya.

Justeru, fokus utama buat masa ini ialah kemungkinan Samsung akhirnya melepasi had 5,000mAh yang telah lama dikekalkan pada model Ultra.

Apapun, kita nantikan pengumuman rasmi dari pihak Samsung untuk mengetahui sejauh mana kebenaran desas-desus ini.

Tinggalkan komentar