Menteri Pengangkutan Anthony Loke menyatakan pihaknya terbuka kepada BJAK untuk menjadi rakan strategik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Bagaimanapun, beliau menyatakan platform berkenaan perlu mengikut saluran yang betul terlebih dahulu dan memohon secara rasmi kepada JPJ.
“Kita tidak menentang mengadakan perkongsian strategik dengan pihak ketiga atau sektor swasta. Jika mereka dapat yakinkan kita untuk menjadi rakan, maka kita tidak ada bantahan terhadap mereka,” kata beliau kepada pemberita dalam majlis pecah tanah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Castlefield.
Beliau juga berkata pihaknya tidak mahu ada mana-mana syarikat yang secara tiba-tiba melancar dan mengumumkan penyediaan perkhidmatan untuk jabatan kerajaan tanpa pengetahuan kementerian sendiri.
JPJ sebelum ini telah mengeluarkan satu kenyataan pada awal minggu ini berkenaan promosi dalam talian oleh BJAK berkaitan perkhidmatan pembaharuan cukai jalan. Jabatan tersebut menjelaskan pihaknya dan juga Kementerian Pengangkutan tidak pernah memberikan kelulusan untuk platform tersebut menjalankan perkhidmatan dipromosikannya. Turut dinyatakan, beberapa dakwaan dari syarikat tersebut juga salah dan tidak tepat.
— JPJ Malaysia (@JPJ_Malaysia) May 6, 2024
Tambah JPJ lagi, pihaknya telah menerima sejumlah aduan dari orang ramai berhubung perkhidmatan pembaharuan cukai jalan termasuk bayaran tambahan. Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan hanya melakukan pembaharuan cukai jalan menerusi laman web rasmi JPJ, kaunter di lokasi dan bergerak, aplikasi mudah alih serta dengan rakan strategik yang sah seperti Pos Malaysia, MyEG dan Puspakom.
Kepada pelanggan yang dikasihi,
Kami ingin mengemukakan kemas kini terkini mengenai berita terbaru.
Untuk maklumat lanjut, sila rujuk artikel penuh di sini: https://t.co/m659qC3Rgc #PenghargaanPelanggan #BJAK #PembaharuanCukaiJalan pic.twitter.com/t82EBZsHoS
— BJAK (@bjakmy) May 6, 2024
Tidak lama selepas itu, BJAK telah memberikan maklumbalas dengan menjelaskan pembaharuan cukai jalan tersebut adalah perkhidmatan tambahan untuk pelanggannya. Platform berkenaan juga mengumumkan pihaknya kini tidak lagi mengenakan bayaran untuk perkhidmatan tersebut dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk meningkatkan mutu perkhidmatan pemilik-pemilik kenderaan di Malaysia.