Mungkin mengikut jejak langkah Elon Musk di Twitter, Mark Zuckerberg kini telah mula mengenakan bayaran untuk pengguna kepada pengguna di platform media sosial Meta miliknya.
Buat masa ini, perkhidmatan pengesahan berbayar untuk Facebook dan Instagram ini ditawarkan di Australia dan New Zealand. Ia dijangka akan menemui pengguna di rantau-rantau lain tidak lama lagi.
Menurut Mark Zuckerberg, perkhidmatan langganan ini membolehkan anda mengesahkan akaun anda dengan kad pengenalan, memiliki lencana bertanda biru, perlindungan tambahan dari akaun menyamar dan akses segera ke perkhidmatan sokongan pelangaan.
Tambah beliau lagi, ciri ini bertujuan meningkatkan kebolehpercayaan dan keselamatan di seluruh perkhidmatannya. Di Amerika Syarikat, ‘Meta Verified’ berharga USD 11.99 (~RM53.12) sebulan untuk web atau USD 14.99 (~RM66.41) sebulan di iOS.
The Verge turut melaporkan perkhidmatan ‘Meta Verified’ ini akan dilancarkan di Australia dalam minggu ini dengan langganan bulanannya AUD 19.99 (~RM60.87) pada web dan AUD 24.99 (~RM76.09) pada peranti mudah alih. Di New Zealand pula, ia berharga NZD 23.99 (~RM66.22) pada web dan NZD 29.99 (~RM82.79) di peranti mudah alih.
Selain memiliki lencana disahkan dapat membuktikan akaun tersebut benar-benar asli, Mark Zuckerberg menekankan sokongan khidmat pelanggan merupakan keutamaan bagi langganan Meta Verified ini.
Sejumlah pengguna menganggap tindakan Meta ini merupakan langkah mendapatkan keuntungan yang lebih besar bagi ciri yang penting ini. Malah pengguna juga tidak sepatutnya dikenakan bayaran untuk khidmat bantuan pelanggan.
Meta pada masa ini sedang berdepan dengan masalah iklan penipuan di platformnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Bagi syarikat bernilai berbilion dollar ini sepatutnya mampu mengekang anasir penipuan ini dengan melakukan tapisan keselamatan bagi pengiklan baharu, selain menubuhkan pasukan pemantau mengikut negara termasuk Malaysia.