Sesetengah pengguna mungkin tidak menjangkakan sesebuah aplikasi penyekat iklan itu sendiri sebenarnya yang menjadi punca kepada lebih banyak iklan muncul. Namun, itulah hakikat sejenis malware Android yang telah diketemukan oleh para penyelidik di Malwarebytes.
Dikenali sebagai FakeAdsBlock, perisian hasad ini didapati telah pun menjangkiti sekurang-kurangnya 500 orang pengguna.
Jangkitan terhadap peranti pengguna berlaku ketika di peringkat pemasangan aplikasi berkenaan ketika ia membuat permintaan membenarkan memaparkan kandungan di atas aplikasi-aplikasi. Tindakan ini menimbulkan tanda tanya memandangkan ianya tidak patut berlaku pada mana-mana aplikasi penyekat iklan.
Aplikasi hasad berkenaan kemudiannya turut meminta pengguna supaya memasang sambungan VPN. Namun, sambungan berkenaan tidak pun digunakan oleh aplikasi tersebut sebaliknya ianya bertujuan untuk mendapatkan kebenaran membolehkannya dijalankan pada latar belakang.
Malware tersebut juga meminta keizinan untuk memaparkan widget pada ‘homescreen’ peranti yang telah dijangkiti dan akan membuang ikonnya sendiri sebaik ianya mendapatkan kebenaran-kebenaran yang diperlukannya.
Selepas itu, pengguna yang telah dijangkiti akan mendapat malapetaka dari segi jumlah gangguan iklan-iklan yang dipaparkan termasuk dari jenis pop-up, notifikasi pengiklanan, pelayar web yang dibuka secara automatik dan sebagainya. Ianya adalah sesuatu yang amat berlawanan dengan fungsi aplikasi penyekat iklan itu sendiri.
Bagaimanapun, pengguna boleh membuang aplikasi ini sendiri dengan pergi ke bahagian pengurusan aplikasi Android. Dari senarai aplikasi, pengguna boleh mengecam aplikasi hasad berkenaan apabila menemukan aplikasi yang tidak mempunyai ikon dan namanya.
Pihak Malwarebytes turut menambah aplikasi-aplikasi hasad jenis ini pada kebiasaannya diketemukan melalui gedung aplikasi pihak ketiga serta laman penstriman yang diragui.
Pengguna dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dalam mendapatkan aplikasi dan mengamalkan sikap berwaspada ketika menguruskan pemasangan aplikasi.
Sumber berita diperoleh dari ZDNet