Kebanyakan pengguna internet biasa tidak ambil peduli berkenaan piawaian Protokol Internet (Internet Protocol, IP) yang digunakan terutama versi-versi yang digunakan. Buat masa ini kita sedang menggunakan IPv4 dan tidak lama lagi versi yang lain akan digunakan untuk protokol tersebut.
Menurut laporan dari Bernama yang memetik kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Malaysia telah mula melakukan persediaan untuk migrasi ke IPv6. Laporan tersebut juga menyatakan Malaysia merupakan negara ketiga di dunia yang telah memulakan proses berpindah ke IPv6.
Ahli SKMM, Derek John Fernandez menjelaskan pihaknya kini sedang berusaha mendapatkan nombor pendaftaran Daftar Internet Kebangsaan untuk Malaysia supaya alamat-alamat ini tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan yang akan mengambil masa di antara tiga hingga lima tahun. Laporan yang sama juga memetik beliau menyatakan negara tidak mempunyai kuasa penuh terhadap alamat-alamat IP yang merupakan aset penting negara.
Salah satu kelebihan peralihan dari IPv4 kepada IPv6 terletak pada alamatnya yang lebih panjang. Hal ini kerana, IPv4 hanya menggunakan alamat-alamat 32-bit yang menyebabkan jumlah alamatnya hanya mampu mencapai sehingga 4.3 billion.
Berbanding IPv6 pula, ia menggunakan alamat-alamat 128-bit yang mampu mencecah sehingga kira-kira 340 undecillion. Selain itu, protokol ini juga mempunyai tahap keselamatan web yang lebih baik.
Sungguhpun migrasi ini mempunyai kelebihannya yang tersendiri, masa untuk melaksanakannya memakan masa sehingga tiga hingga lima tahun. Apabila prosesnya selesai kelak, kebanyakan pengguna mungkin tidak menyedarinya tentang perubahan tersebut.