Utama Teknologi GovTech Gergasi Teknologi saran Malaysia tangguh rancangan wujudkan Lesen Platform Media Sosial

Gergasi Teknologi saran Malaysia tangguh rancangan wujudkan Lesen Platform Media Sosial

68
0

Asia Internet Coalition (AIC), sebuah organisasi yang mewakili sejumlah gergasi teknologi seperti Grab, Meta, Apple, Amazon, Google, Yahoo, Rakuten, X dan LinkedIn telah menyatakan kebimbangan berhubung pelaksanaan pelesenan untuk platform media sosial dan permesejan segera di Malaysia.

Di dalam sepucuk surat terbuka kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, organisasi berkenaan menggesa supaya kerajaan menangguhkan kerangka kawal selia baharu tersebut. Pihak kerajaan juga diminta supaya meneliti pertimbangan dengan lebih mendalam bagaimana langkah pelesenan ini selaras dengan matlamat ekonomi yang lebih meluas sebelum ia diteruskan.

Organisasi berkenaan juga menyatakan rangka kerja yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) tidak sesuai di dalam industri. Ia juga dikatakan akan memberikan kesan buruk terhadap inovasi dengan menambahkan beban terhadap perniagaan. Langkah ini juga, menurut organisasi tersebut akan menyukarkan dan menyekat peluang pelaburan di masa hadapan kerana kerumitan dan kos pematuhannya.

Pemain industri tidak dilibatkan ketika pembangunan kerangka

AIC turut memberitahu tiada perbincangan formal secara umum berkenaan perkara ini sebelum Kertas Maklumat dan Soalan-Soalan Lazim diterbitkan pada 1 Ogos 2024. Ketiadaan perbincangan kritikal juga telah mewujudkan kebimbangan yang amat besar di dalam industri terhadap skop pematuhannya serta lesen yang perlu dimohon.Turut diterangkan kemungkinan tiada platform yang akan mendaftar di bawah keadaan tersebut.

Organisasi berkenaan juga bersetuju tentang keperluan mengekang bahaya penipuan dalam talian seperti perjudian, ancaman terhadap pengguna bawah umur dan hasutan kebencian. Kebimbangan tersebut turut dikongsikan oleh pihak organisasi dan sedia bekerjasama menyelesaikan isu tersebut untuk melindungi rakyat Malaysia disamping menggalakkan inovasi.

Bagaimanapun, pelaksanaan yang dicadangkan tersebut menyebabkan pihak tidak mempunyai waktu yang cukup untuk mendapatkan penjelasan terperinci dan memahami kesan terhadap implikasinya.

AIC menyatakan pihaknya sedia bekerjasama terhadap isu-isu yang kritikal, namun amat penting kerjasama tersebut perlu berteraskan ketelusan, keadilan dan waktu yang sewajarnya bagi memastikan keberkesanan dan hasil yang mampan untuk semua pemegang taruh.

SKMM telah mengumumkan kerangka kawal selia yang memerlukan semua platform media sosial dan permesejan segera dengan jumlah pengguna di Malaysia sekurang-kurangnya 8 juta memohon lesen tersebut. Ia merangkumi platform seperti Facebook, Facebook Messenger, Instagram, TikTok, WhatsApp, Telegram, WeChat, X dan YouTube.

Undang-undang baharu tersebut akan dilaksanakan bermula 1 Januari 2025 dan mana-mana platform yang terus beroperasi tanpa lesen selepas tarikh tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 126 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Mana-mana platform yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM500,00 atau penjara sehingga 5 tahun, atau kedua-duanya sekali. Platform yang berkenaan juga boleh dikenakan denda RM1,000 setiap hari jika kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil baru-baru ini menyatakan beliau menjangkakan platform-platform media sosial menghantar permohonan pelesenan masing-masing seawal Oktober ini.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.