Sistem operasi Linux merupakan antara pilihan terbaik bagi pengguna yang ingin menggunakan semula komputer berspesifikasi lapuk. Hal ini kerana kebanyakan distro Linux tidak memerlukan spesifikasi yang tinggi sebagaimana yang diperlukan oleh Windows. Secara amnya, Linux tidak begitu membebankan CPU serta tidak memerlukan ruang storan yang besar.
Pun begitu, lain pula halnya tentang penggunaan RAM untuk sistem-sistem operasi berasaskan Linux dan ia bergantung kepada jenis-jenis distro Linux yang digunakan. Tambahan pula, cara penggunaan RAM di antara Linux dan Windows adalah berbeza walaupun tujuannya tetap sama.
Untuk mengetahui perbezaan penggunaan RAM di antara kedua-dua jenis sistem operasi utama ini, kita perlu mengetahui serba sedikit tentang RAM.
Apa itu RAM?
RAM (random access memory) secara ringkasnya adalah ‘sebuah kawasan’ di dalam komputer anda yang membenarkan fail-fail dibaca dan ditulis pada tempoh tertentu. Data ini secara fizikalnya terasing daripada fail-fail di storan. Pergerakan data melalui RAM adalah lebih pantas berbanding melalui storan di dalam cakera keras tradisional.
Cuma bezanya bila komputer dimatikan, data-data di dalam RAM akan hilang. Manakala data-data di dalam cakera keras masih lagi kekal disimpan. Oleh itu, sebaik sahaja komputer dihidupkan, RAM secara teorinya akan ‘kosong’.
Komputer menggunakan RAM sebagai ‘tempat simpanan sementara’ dengan tujuan untuk memudahkan data-data diakses dengan lebih pantas dan lebih kerap.
RAM juga ada banyak jenis. Ada DRAM dan SRAM. DRAM memberikan masa akses sekitar 60 nanosaat. SRAM pula lebih singkat dengan sekitar 10 nanosaat. Jadi, 4GB SRAM adalah lebih ‘laju’ jika dibandingkan dengan 4GB RAM. Tapi selalunya DRAM lebih biasa digunakan disebabkan harganya yang jauh lebih murah.
Berbalik kepada cerita tentang sistem operasi tadi, mana satu yang lebih banyak menggunakan RAM?
Keperluan sistem
Windows 10 memerlukan sekurang-kurangnya RAM 2GB, tapi Microsoft cadang guna 4GB RAM untuk lagi sedap pakai. Sebagai perbandingan, kita lihat pada salah satu distro Linux yang popular, Ubuntu. Keperluan sistem yang dicadangkan oleh Canonical untuk Ubuntu adalah 2GB RAM.
Nampak macam tak jauh beza. Tapi keperluan sistem berkenaan adalah untuk ciri-ciri animasi dan lain-lain fungsi bersifat kosmetik untuk desktop Ubuntu. Fungsi-fungsi berkenaan boleh dimatikan bagi menjimatkan penggunaan RAM dan seterusnya membolehkan ia digunakan pada komputer-komputer lama.
Membandingkan jumlah penggunaan RAM di antara Linux dan Windows bukanlah sekadar perbandingan angka semata-mata. Memahami fungsi RAM secara lebih lanjut dapat memberikan kita kefahaman tentang perbezaan di antara kedua-dua sistem operasi ini.
Bagaimana RAM berfungsi
Cara RAM digunakan tidak sama macam storan hard disk digunakan. Hard disk penuh dengan RAM penuh tak sama konsepnya. Kalau hard disk penuh tandanya ‘tak berapa bagus’. Tapi kalau RAM penuh pulak, tandanya ‘bagus’.
Hal ini kerana, RAM yang penuh menandakan ia digunakan dengan sebaiknya oleh aplikasi-aplikasi yang dipasang. Misalnya, pelayar seperti Chrome dan Mozilla menggunakan sumber RAM yang besar untuk menempatkan cache-cache laman yang kerap dikunjungi.
Ini bertujuan menjadikan waktu memuatkan laman-laman web menjadi lebih singkat kerana data-data berkaitan sudah disimpan di dalam RAM, andainya laman berkenaan dikunjungi semula.
Selain itu, lebih banyak aplikasi dan program yang dibuka pada waktu yang sama menjadikan penggunaan RAM akan lebih besar. Ditambah lagi jika pengguna membuka program permainan video. Justeru, bagi pengguna yang banyak menggunakan program-program secara serentak atau gemar bermain permainan video, anda digalakkan untuk menambah kapasiti RAM komputer anda.
Harus diingatkan juga bahawa, bukan aplikasi sahaja yang menggunakan RAM yang banyak. Sistem operasi juga memerlukan ruang RAM sendiri. Lebih banyak RAM yang diperlukan oleh sistem operasi, lebih sedikit ruang untuk program-program padanya.
Atas sebab itu, Windows meletakkan keperluan sistem yang lebih tinggi. Ia mempunyai lebih banyak komponen yang cuba menggunakan RAM dalam satu-satu masa. Menu Start Windows sahaja sudah memerlukan jumlah RAM yang besar.
Bila kesemua ruang RAM sudah digunakan, komputer akan mula menyimpan fail-fail sementara pada hard disk pula. Oleh kerana membaca dan menulis data pada hard disk adalah lebih perlahan berbanding pada RAM, komputer anda mula ‘rasa slow’. Ia akan rasa OK semula bila semua program-program berkenaan ditutup.
Kalau nak faham lagi, tonton video penerangan di bawah;
https://www.youtube.com/watch?v=TMV_Dwsd8dI
Kelebihan Linux
Dimanakah letaknya kekuatan Linux?
Penggunaan RAM oleh pelayar web di Linux sama sahaja penggunaannya pada Windows. Jadi untuk memanfaatkan Linux sebaiknya pada komputer yang berkapasiti RAM rendah, pengguna boleh memasang distro-distro Linux yang kurang menggunakan RAM seperti LXDE, Xfce dan MATE. Atau, jika anda tak kisah untuk menggunakan sistem operasi melalui terminal, anda boleh cuba membuat pemasangan minimum seperti yang boleh dibuat melalui Ubuntu Minimal CD.
Jadi, mana yang kurang menggunakan RAM?
Jika komputer anda hanya memiliki 512MB RAM, sebaiknya anda boleh cuba menggunakan distro-distro Linux yang ringan pada komputer berkenaan. Cuma, kalau dah RAM tu ciput sangat, ada masa boleh senak juga komputer tu walaupun dah gunakan Linux. Ini terutamanya bila menggunakan pelayar web. Untuk program-program lain, sepatutnya ia boleh dijalankan dengan lancar.
Berbanding Windows, Linux mampu menawarkan pilihan untuk komputer-komputer lapuk berspesifikasi rendah yang masih boleh berfungsi.
Adakah anda berhasrat menggunakan semula komputer-komputer anda dengan memasang Linux? Tinggalkan komen anda di ruangan komentar di bawah.
Imej cover diperoleh dari Deposit Photos