Syarikat pengeluar cip memori utama dunia dilaporkan hanya menjangka dapat memenuhi sekitar 60 peratus daripada jumlah permintaan pasaran global menjelang akhir tahun 2027.
Walaupun pengeluar kini sedang giat mempertingkatkan tahap kapasiti pembuatan mereka, sasaran tersebut kekal rendah dan dijangka akan menyebabkan krisis kekurangan bekalan berterusan dalam industri teknologi.
Laporan baharu daripada Nikkei Asia telah memberikan konteks yang lebih jelas mengenai krisis bekalan memori ini. Ia susulan amaran daripada Pengerusi Kumpulan SK, Chey Tae-won pada bulan lalu yang menjangkakan kekurangan bekalan mungkin berlanjutan sehingga tahun 2030.
Syarikat-syarikat gergasi industri termasuk Samsung, SK Hynix, dan Micron kini sedang giat berusaha untuk membuka kilang pengeluaran (fab) baharu.
Walau bagaimanapun, fasiliti-fasiliti ini hanya dijangka mula siap pada tahun ini atau pada 2027. Proses pengeluaran besar-besaran berskala penuh juga tidak akan bermula secara serta-merta.
Menurut Penyelidik Counterpoint Research, MS Hwang, keseimbangan antara penawaran dan permintaan dalam pasaran cip memori dijangka tidak akan kembali normal sehinggalah tahun 2028.
Industri memerlukan pertumbuhan pengeluaran sebanyak 12 peratus secara menyeluruh sehingga tahun 2027 bagi menyelesaikan krisis kekurangan bekalan ini. Namun perancangan semasa yang ada dilaporkan hanya menyumbang sekitar 7.5 peratus sahaja.
Samsung kini sedang membangunkan kilang keempatnya di kampus Pyeongtaek yang disasarkan siap dibina pada tahun 2026. Manakala pengeluaran besar-besaran hanya akan bermula pada “2027 atau lebih lewat”. Kilang kelima pula dijangka tidak akan memulakan operasi sekurang-kurangnya sehingga awal 2028.
Dalam pada masa yang sama, SK Hynix sedang membina sebuah kilang baharu di Yongin yang dijangka siap pada Februari 2027. Projek ini dilaporkan berjalan lancar dengan jadual pembinaan disiapkan tiga bulan lebih awal daripada jangkaan asal.
Unjuran pemulihan pada tahun 2028 oleh penganalisis Counterpoint dilihat optimis berbanding ramalan tahun 2030 oleh syarikat induk SK Hynix.
Cip memori merupakan perkakasan kritikal untuk pelbagai sektor teknologi moden. Krisis bekalan ini memakan masa bertahun-tahun untuk pulih. Ia juga berisiko memberikan tekanan jangka panjang terhadap rantaian bekalan produk elektronik.










