Utama Mobile Samsung borong habis cip pemprosesan Snapdragon 835, pengeluar lain terpaksa guna cip...

Samsung borong habis cip pemprosesan Snapdragon 835, pengeluar lain terpaksa guna cip lama

1264
0

Kebanyakan model telefon pintar yang bakal hadir pada tahun 2017 ini berkemungkinan tidak akan menampilkan cip pemprosesan terbaru dari Qualcomm, Snapdragon 835 dan ini semua adalah salah Samsung. Maklumat yang tertiris mendakwa syarikat dari Korea Selatan berkenaan telah ‘memborong’ hampir keseluruhan cip terbaru ini hingga bakinya terlalu sedikit untuk pengeluar-pengeluar peranti lain.

Forbes telah melaporkan situasi ini berikutan ketiadaan cip pemprosesan generasi berikutnya pada HTC U Ultra. Maklumat berkenaan seterusnya telah disahkan oleh The Verge yang telah menemukan perlanjutan perjanjian usahasama diantara Qualcomm dan Samsung.

Samsung buat masa ini turut menghasilkan Snapdragon 835 untuk Qualcomm dan pada kebiasaannya meletakkan perniagaan peranti dan elektroniknya sebagai dua entiti yang berlainan. Lagipun, Samsung sebagaimana yang telah diketahui umum menggunakan cip pemprosesannya sendiri, Exynos bagi telefon-telefon pintar flagship dan tablet keluarannya. Bagaimanapun, Samsung juga didapati menggunakan pemprosesan Snapdragon bagi peranti-peranti yang dipasarkan ke Amerika Syarikat.

Terdapat spekulasi yang mengatakan ‘pemborongan’ cip pemprosesan Snapdragon ini adalah disebabkan Samsung ingin menggantikan Exynos dengan Snapdragon untuk Galaxy S8 yang akan hadir kelak.

Buat masa ini, tiada siapa yang tahu niat sebenar Samsung yang memborong hampir keseluruhan cip pemprosesan Snapdragon yang baru ini. Keadaan ini bakal menyebabkan pengeluar-pengeluar lain terpaksa menggunakan cip-cip pemprosesan Snapdragon yang terdahulu seperti Snapdragon 821 bagi menggantikan ketiadaan cip pemprosesan Snapdragon 835 yang telah diborong itu.

Sumber berita diperoleh dari The Verge, Forbes

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.