Kuala Lumpur, 28 Februari 2023 – Krenovator Technology Sdn. Bhd. hari ini memperkenalkan Abraham iaitu Pembantu Pengekodan AI (“AI coding assistant”) di platform digitalnya yang dilancarkan akhir tahun lepas.
Abraham memberi maklum balas dan cadangan masa nyata kepada pengguna, membantu mereka meningkatkan kemahiran pengekodan atau “coding” dengan lebih cekap dan berkesan. Ia juga membolehkan pengguna membangun perisian baharu pada kadar yang lebih cepat daripada kaedah konvensional. Abraham adalah percuma untuk diguna.
Antara keupayaan utama Abraham adalah untuk membantu pengguna melengkapkan kod yang belum selesai serta mengesan sebarang sintaks atau kesilapan semantik dalam kod.
Mahadhir Yunus, Ketua Pegawai Eksekutif Krenovator berkata, “Kami teruja untuk memperkenalkan Abraham kepada dunia. Sebagai penyedia platform latihan “coding”, kami sering menerima banyak soalan daripada pengguna kami. Banyak soalan yang unik mejadi cabaran untuk kami sediakan jawapan secara cepat, manakala ada juga soalan-soalan yang berulang-ulang.
Situasi ini telah memberi inspirasi kepada kami untuk sediakan suatu kaedah pembelajaran yang lebih bijak dan cekap untuk membuat kod. Objektif kami adalah untuk menawarkan bantuan bersasar kepada pembangun perisian di seluruh dunia supaya mereka dapat mencipta penyelesaian berkualiti tinggi dan inovatif.”
Isi Kandungan
Sokongan “Full Stack”
Pada masa ini, Abraham menyokong pengaturcaraan “full stack” yang meliputi 17 bahasa pengaturcaraan dan rangka kerja popular termasuk Frontend, Backend, pangkalan data, API, Angular, DevOps, Flutter, .NET, PHP, Python, Java, dan Javascript. Krenovator sedang berusaha untuk memperluaskan senarai itu.
“Kami gembira kerana kerja-kerja yang bermula pada awal 2022 untuk membangunkan Abraham akhirnya membuahkan hasil sekarang. Sama ada pengekod atau “coder” junior yang cuba membetulkan masalah dalam kod atau “coder” yang sudah mahir yang ingin memeriksa kod mereka, Abraham boleh membantu bila-bila masa,” jelas Mahadhir.
“Kami melihat bahawa Abraham berpotensi menjadi bantuan sokongan barisan hadapan dalam hal “coding,” katanya.
Krenovator merancang untuk memperkenalkan versi perusahaan (enterprise) “AI coding assistant” pada masa akan datang.
Platform “Tech Talent” Krenovator menawarkan modul “coding” dan latihan percuma yang dibangunkan oleh Syarikat. Ia juga baru-baru ini bekerjasama dengan Coursera untuk membolehkan pengguna mendapatkan pensijilan. Platform itu kini mempunyai lebih daripada 3,000 bakat teknologi dari Malaysia dan Indonesia.
Mengenai Krenovator:
Ditubuhkan pada tahun 2019, Krenovator adalah platform bakat dan karier teknologi AI yang menyediakan perkhidmatan kepada dua kumpulan utama – individu yang ingin belajar dan meningkatkan kemahiran pengekodan, dan syarikat yang ingin mencari pembangun perisian yang berkelayakan.
Platform digitalnya yang dilancarkan pada akhir 2022 telah menarik lebih 3,000 bakat-bakat teknologi dari Malaysia dan Indonesia. Setakat ini, Krenovator juga telah berjaya membantu lebih daripada 200 individu berbakat yang berkelayakan untuk mendapatkan pekerjaan bidang teknologi dengan majikan dari Malaysia, Singapura, dan United Kingdom. Krenovator berpusat di negeri Selangor. Lawati kami di: www.krenovator.io.