Windows merupakan sistem operasi versatil yang menakjubkan. Namun, ada masanya ia tidak dapat mengelak dari mengalami masalah yang boleh mendatangkan kerunsingan kepada para penggunannya. Ia seringkali berlaku selepas pengguna memasang perisian baharu atau menambah driver untuk perkakasan baru.
Sesetengah masalah akan menyebabkan sistem komputer Windows anda restart dan akan keluar satu paparan untuk memberikan anda pilihan menggunakan sistem komputer dalam keadaan Safe Mode.
Melalui Safe Mode, anda akan mendapati sistem komputer Windows anda masih lagi kelihatan berfungsi. Cuma, pada keempat-empat penjuru skrin anda akan tertera perkataan ‘Safe Mode’.
Apakah yang dimaksudkan dengan Safe Mode?
Safe Mode adalah salah satu cara Windows untuk beroperasi apabila berlaku masalah kritikal berkaitan sistem yang boleh mengganggu pengoperasian normal Windows. Tujuan Safe Mode ini adalah untuk membolehkan pengguna melakukan penyelesaian masalah secara kendiri. Apabila pengguna berjaya menemukan punca masalah tersebut dan membetulkannya, barulah sistem operasi Windows boleh digunakan seperti biasa.
Ada beberapa perkara berlaku apabila Windows diboot dalam Safe Mode. Ia amat berbeza dengan boot biasa, seperti:
- Safe Mode tidak akan run fail-fail seperti autoexec.bat atau config.sys
- Kebanyakan driver untuk peranti dan perkakasan tidak akan dimuatkan. Oleh itu, pada kebiasaannya peranti seperti pencetak dan pengimbas yang bersambung dengan komputer berkenaan tidak boleh digunakan apabila ia berada di dalam Safe Mode.
- Disebabkan tidak menggunakan driver yang dikhaskan untuk kad grafik, grafik VGA biasa akan dimuatkan yang hanya cukup sekadar boleh memaparkan maklumat. Driver ini boleh digunakan pada mana-mana kad grafik yang sesuai dengan Windows.
- Himem.sys yang kebiasaannya dimuatkan bersama dengan skrip config.sys, telah dimuatkan bersama suis /testmem:on. Suis ini berperanan memaklumkan kepada komputer untuk menguji memori terlebih dahulu sebelum Safe Mode boleh diteruskan.
- Safe Mode juga akan memeriksa fail msdos.sys untuk mencari maklumat tentang di mana kedudukan fail-fail Windows yang lain. Jika ia berjaya menemukannya, ia akan terus memuatkan Safe Mode dengan arahan win /d:m. Jika ia gagal, ia akan menggerakkan command.com untuk membawakan prom C:.
- Windows yang boot dalam keadaan Safe Mode menggunakan batch file, system.cb berbanding kebiasaannya yang menggunakan fail system.ini. Fail ini memuatkan Virtual Device Drivers (VxDs) yang digunakan oleh Windows untuk berkomunikasi dengan komponen-komponen lain di dalam komputer berkenaan.
- Windows dalam Safe Mode memuatkan fail system.ini yang ditambah dengan win.ini dan tetapan Registry. Ia melangkau seksyen [Boot] (kecuali pada baris shell dan device) dan [386Enh] di dalam system.ini. Walaubagaimanapun, ia tidak akan memuatkan atau menjalankan sebarang program yang disenaraikan di dalam fail win.ini.
- Pada bahagian paparan desktop, Windows akan dimuatkan dalam bentuk format warna 16 bit dan beresolusi 640 x 480.
Windows Safe Mode kadangkala boleh dimuatkan secara automatik jika berlaku sebarang masalah untuk boot secara normal. Bagaimanapun, anda boleh mendapatkan pilihan Safe Mode ini dengan menekan butang F5 atau F8 pada papan kekunci ketika sistem operasi sedang boot.
Jadi, apakah yang anda patut lakukan jika Windows anda telah masuk ke Safe Mode? Pertama sekali, cuba untuk menentukan apakah perubahan yang telah berlaku hingga menyebabkan Windows anda gagal untuk boot secara normal. Jika anda merasakan ianya berpunca dari perkakasan, anda perlu pergi ke Control Panel dan buangkan perisian driver perkakasan tersebut pada ruangan Add/Remove Program (Windows XP) atau Uninstall a Program (Windows Vista, Windows 7, Windows 8 dan Windows 10). Kemudian, cuba restart dan jika Windows boleh boot dengan baik, anda mungkin perlu melakukan sesuatu pada peranti berkenaan.
Begitu juga halnya jika anda merasakan masalah berkenaan timbul akibat pemasangan perisian baharu. Anda boleh cuba uninstall melalui Control Panel dan kemudian restart Windows anda untuk memastikannya ia boleh boot seperti biasa.
Jika masalah berkenaan bukan melibatkan perkakasan atau perisian baharu, barangkali terdapat masalah pada bahagian Registry sistem operasi Windows anda. Langkah paling mudah untuk menyelesaikannya adalah dengan melakukan pemasangan semula sistem operasi Windows anda pada komputer berkenaan.
Artikel asal ini telah ditulis pada 30 April 2015
xreti langsung pasal comp ni…kalau rosak hntar kedai jer..
Perenggan ke-3 dari bawah… TQ for sharing bro, huhuh… eh selamat hari pekerja no~ ;3
dulu-dulu saya suka perkara ini..sekarang ada lambat sedikit kerana masa banyak tertumpu kepada perkara lain.
Penting safe mode ni.. niaya je klu rosak tak de safe mode huh…