Cabang modal teroka korporat dan makmal inovasi Kumpulan Sunway, Sunway iLabs, telah berjaya menghimpunkan lebih 200 pengasas, pelabur, wakil kerajaan, dan pemimpin korporat di FutureX Ventures Fest 2026.

Acara tahunan kali kedua ini berlangsung di Surf Beach, Sunway Lagoon. Kali ini memfokuskan pada penerimagunaan kecerdasan buatan (AI), trend pelaburan terkini, dan peranan Malaysia yang semakin berkembang dalam landskap teknologi Asia Tenggara.

Memacu Aspirasi AI Negara

Menteri Digital Malaysia, YB Gobind Singh Deo yang merasmikan forum tersebut, menegaskan bahawa platform sedemikian memainkan peranan penting dalam memacu cita-cita AI negara.

Beliau merujuk kepada Pelan Tindakan AI Nasional 2026–2030 dan Pelan Hala Tuju Ekosistem Syarikat Pemula Malaysia sebagai usaha asas yang menyokong hala tuju berkenaan.

Menurut beliau, Malaysia kini pantas menjadi pusat di mana teknologi dibangunkan, perkongsian dibentuk, dan idea diubah menjadi peluang yang nyata.

Seiring dengan sasaran untuk menjadi sebuah Negara AI menjelang 2030, acara seperti FutureX Ventures Fest membantu mengalihkan idea daripada sekadar perbincangan kepada fasa pelaksanaan. Seterusnya memposisikan Malaysia sebagai gerbang kepada gelombang pertumbuhan Asia Tenggara yang seterusnya.

Sokongan Ekosistem Syarikat Pemula

Timbalan Presiden Kumpulan Sunway, Evan Cheah, menyatakan bahawa Sunway terus memfokuskan usaha membina ekosistem teknologi dan syarikat pemula di Malaysia secara berperingkat.

Bagi memastikan pandangan terbaik dibawa ke Malaysia ketika penerimagunaan AI semakin rancak, syarikat itu sedang bekerjasama secara langsung dengan firma modal teroka (venture capital) utama dari hab inovasi global.

Beliau percaya gabungan rangkaian modal teroka global dan saluran bakat yang ada kini memberikan ramuan yang tepat untuk membina syarikat AI yang paling memberi impak di Malaysia.

Forum ini juga mencerminkan komitmen Sunway melalui perkongsian strategik bersama firma modal teroka, pembangunan bakat AI, serta pemerkasaan rangkaian inovasi antarabangsa.

Dialog Rentas Sektor Global

Diadakan dalam suasana santai di tepi pantai, forum ini bermatlamat beralih daripada struktur persidangan tradisional untuk menggalakkan pertukaran idea secara terbuka.

Perbincangan banyak memfokuskan kepada penerimagunaan AI merentas industri seperti penjagaan kesihatan, serta faktor-faktor untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau bagi teknologi mendalam (deep tech).

Antara penceramah dan panelis terkemuka yang dijemput termasuk Michel Del Buono, Ketua Pegawai Pelaburan a16z Perennial yang merupakan salah sebuah firma modal teroka paling berpengaruh di Lembah Silikon, serta Ketua Pegawai Eksekutif VenCap International, Tim Cruttenden.

Turut serta, tokoh terkemuka dari ekosistem korporat merentasi China, Singapura, Australia, dan Malaysia, selain pemimpin pelaburan serantau seperti Andy Zain (Kejora Capital) dan wakil dari Gobi Partners serta The Hive Southeast Asia.

Tinggalkan komentar