TANJONG MALIM – Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melancarkan tiga produk inovasi digital berimpak tinggi iaitu Pembantu Digital atau Chatbot AI  (B.U.D.I), Katalog Akses Awam Bersepadu Pelbagai Sumber (MinPAC) dan Repositori Pengurusan Pengetahuan (uMIND) bagi memperkukuh ekosistem perpustakaan pintar berteraskan kecerdasan buatan (AI) di universiti itu.

Ketua Pustakawan PTB, Noriha Muhammad berkata pelancaran ketiga-tiga platform itu menandakan anjakan paradigma dalam kaedah capaian maklumat warga universiti daripada sistem tradisional kepada persekitaran digital yang lebih responsif, pantas dan bersepadu.

Beliau berkata inisiatif berkenaan turut selaras dengan aspirasi UPSI untuk memperkukuh pendigitalan pendidikan serta memperkasa budaya ilmu menerusi penggunaan teknologi pintar.

“Pelancaran uMIND, MinPAC dan B.U.D.I. merupakan komitmen PTB dalam memenuhi keperluan generasi masa kini yang menuntut akses maklumat yang cepat, tepat dan mudah dicapai.

“Kami bukan sekadar mendigitalkan bahan rujukan, malah memberi nilai tambah melalui integrasi teknologi AI dan sistem carian pintar yang mampu meningkatkan pengalaman pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, sistem uMIND dibangunkan sebagai repositori pengetahuan dan memori korporat universiti yang menghimpunkan pelbagai bahan ilmiah dan dokumentasi penting institusi.

Katanya, platform itu merangkumi kandungan seperti perkongsian pengetahuan, sejarah lisan, dokumentasi pencapaian universiti serta arkib program keilmuan yang boleh diakses menerusi fungsi ‘Smart Search’ dan ‘Full Text Search’.

“uMIND berperanan sebagai pusat pemeliharaan warisan intelektual universiti selain memudahkan penyelidik dan warga kampus memperoleh bahan rujukan digital secara lebih sistematik dan efisien.

Sistem Pencarian Bersepadu

Perpustakaan Tuanku Bainun, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI

Sementara itu, beliau berkata MinPAC pula dibangunkan sebagai sistem pencarian yang menyatukan pelbagai sumber perpustakaan dalam satu antaramuka bersepadu.

Katanya, sistem berkenaan membolehkan pengguna melakukan carian serentak bagi buku fizikal, tesis, artikel dan pelbagai bahan digital lain termasuk daripada platform Repositori Digital (UDRep), Perpustakaan Elektronik (MyELIB), Sistem Pengindeksan (iSYS), Pempakejan  Maklumat (iPAC), Pustaka Galeri Muallim dan uMIND.

“MinPAC membantu menjimatkan masa penyelidik kerana semua sumber boleh dicapai melalui satu platform tunggal tanpa perlu membuat carian berasingan.

Mengulas mengenai PTB B.U.D.I, Noriha berkata pembantu maya berasaskan teknologi Custom GPT itu berfungsi sebagai medium interaktif yang memudahkan pengguna mendapatkan maklumat berkaitan perpustakaan.

Beliau berkata pengguna boleh berinteraksi secara terus dengan B.U.D.I.  untuk mendapatkan bantuan pencarian bahan rujukan, menyemak waktu operasi perpustakaan, panduan perkhidmatan serta berhubung dengan pustakawan melalui fungsi sembang langsung.

“B.U.D.I. memperlihatkan transformasi perkhidmatan perpustakaan ke arah lebih mesra pengguna dan selari dengan perkembangan teknologi AI semasa,” katanya.

Artikel disumbangkan oleh Bazli Razak, Bahagian Komunikasi Korporat UPSI

Tinggalkan komentar