Usai acara Apple Peek Performance melabuhkan tirainya, Apple telah mengumumkan barisan produk-produk terbarunya. Antaranya iPhone SE Generasi Ke-3, iPad Air Generasi Ke-5 yang dipertingkatkan keupayaannya, Mac Studio baharu dan juga monitor Studio Display.
Seperti biasa, Apple tidak menyediakan perincian teknikal produk-produk baharunya tersebut, termasuk kapasiti RAM bagi iPhone SE 2022 berkenaan.
Bagaimanapun, menurut laporan dari MacRumors, seorang pembangun telah menemukan maklumat berkenaan bilangan memorinya. iPhone SE Generasi Ke-3 ini didapati mempunyai RAM yang lebih tinggi berbanding keluaran sebelumnya.
Menerusi nota terbitan Xcode 13.3 mendapati iPhone berharga paling mampu milik ini didatangkan dengan RAM 4GB. Ia lebih besar jika dibandingkan dengan iPhone SE keluaran dua tahun lepas yang menawarkan RAM 3GB sahaja.
Peningkatan RAM ini amat diperlukan terutamanya bagi penggunaan aplikasi berintensiti memori tinggi seperti permainan mudah alih atau suntingan video.
Melalui penggunaan cipset Apple A15 Bionic, iPhone SE berkeupayaan 5G ini mampu memberikan prestasi terbaik sungguhpun menampilkan rekaan yang agak klasik.