Utama Apple iPhone SE 2022 buka pra-tempahan di Malaysia 18 Mac ini, Hadir dengan...

iPhone SE 2022 buka pra-tempahan di Malaysia 18 Mac ini, Hadir dengan Cip A15 Bionic dan 5G

432
0
iPhone SE 18 Mac 2022

iPhone SE dianggap sebagai pemula kepada siri iPhone sungguhpun siri hadir dengan rekaan yang agak ketinggalan. Dua tahun selepas pelancaran iPhone SE generasi kedua berasaskan cip A13 Bionic, kini tiba giliran genarasinya yang terkini.

Menerusi acara Peek Performance awal pagi tadi, iPhone SE 2022 hadir dengan cip A15 Bionic, pemprosesan yang sama digunakan pada iPhone 13 dan iPhone 13 Pro.

Melalui penggunaan pemprosesan ini, iPhone baharu ini dikatakan mampu menawarkan kuasa 1.8 kali ganda berbanding iPhone 8, menurut Apple.

Dari segi fotografinya, perkakasan yang disenaraikan pada SE baharu ini sama dengan model sebelumnya pada 2020 dahulu. Antaranya penggunaan kamera masih lagi kamera utama 12MP f/1.8 dan kamera hadapan 7MP f/2.2.

Bagaimanapun, dengan adanya cip A15 Bionic, kuasa perkomputeran fotografinya telah dipertingkatkan dan mampu menawarkan fungsi seperti Deep Fusion, Smart HDR 4, dan Photographic Styles.

Satu lagi penambahbaikan besar yang diberikan oleh Apple pada iPhone SE 2022 ini adalah pada sokongan rangkaian 5G.

Apple juga turut mengetengahkan penambahbaikan dari segi penggunaan kuasa bateri pada model iPhone terbaru ini yang kini mampu bertahan selama 15 jam untuk fungsi main semula video. Ia dua jam lebih baik berbanding model keluaran 2020 sebelum ini.

Seperti yang anda dapat lihat, iPhone SE 2022 ini dilihat masih lagi mengekalkan ciri rekaan yang sama seperti model sebelumnya.

Antaranya paparan Retina HD 4.7-inci dan butang fizikal berbentuk bulat ‘Home’ dengan sokongan Touch ID. Apple juga menyatakan iPhone SE terbaru ini kini dilindungi dengan Ceramic Shield, sama seperti yang terdapat pada siri iPhone 13.

Melalui storan sehingga 256GB, iPhone SE generasi ketiga ini akan mula dibuka pra-tempahannya di Apple Malaysia pada 18 Mac, jam 9 malam. Berikut adalah senarai harga iPhone SE 2022 bagi pasaran Malaysia:

  • iPhone SE 2022 64GB – RM2,099
  • iPhone SE 2022 128GB – RM2,299
  • iPhone SE 2022 256GB – RM2,799

 

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.