Utama Apple iPad Air Generasi Ke-5 dikuasakan oleh cip Apple M1; Harga dari RM2,699...

iPad Air Generasi Ke-5 dikuasakan oleh cip Apple M1; Harga dari RM2,699 di Malaysia

678
0

Acara Apple Peek Performance yang sebelum ini dilaporkan melancarkan iPhone SE 5G, turut memperkenalkan Apple iPad Air versi terbarunya. iPad Air Generasi Ke-5 ini mungkin dilihat tidak jauh bezanya dari segi rupa luaran dengan iPad Air versi sebelumnya.

Namun, perubahan ketara yang dibawakan olehnya adalah pada perkakasan di dalamnya. Untuk generasi terbaru ini iPad Air menggunakan cip Apple M1, sama seperti yang digunakan oleh iPad Pro.

Cip Apple M1 dan cip Apple A14 Bionic yang digunakan pada iPad Air sebelum ini, kedua-duanya dilancarkan pada tahun 2020. Namun menurut Apple, 8 teras CPU di dalam cip M1 baharu pada iPad Air baharu ini menawarkan prestasi 60% lebih pantas dari sebelumnya.

Malah, 8 teras GPU pada M1 juga mampu memberikan prestasi grafik dua kali ganda dari iPad Air keluaran tahun 2020. Kuasa Neural Engine 16 teras di dalam cip tersebut juga menyediakan keupayaan pembelajaran mesin pada cip berkenaan.

Justeru membolehkan anda melakukan apa sahaja baik dari menyunting sebilangan video berkualiti 4K secara serentak, rekaan 3D, kefungsian AR dan juga bermain permainan berkomputer berintensiti tinggi. Apple turut menyatakan iPad Air keluaran tahun 2022 ini juga hadir dengan RAM 8GB dan bagi storannya pula, anda boleh memilih dari 64GB, hingga ke 256GB.

iPad Air kini dengan 5G!

Perubahan kepada penggunaan cip Apple M1 ini bukan sekadar membawakan peningkatan prestasi, malahan ia juga menyertakan sokongan rangkaian 5G. Sebelum ini, iPad Air dengan sokongan selular hanya menawarkan sambungan 4G LTE sahaja.

Selain itu, iPad Air ini juga menyediakan sokongan Wi-Fi 6 dan juga Bluetooth 5.0. Port sambungan USB-C yang disediakannya juga menawarkan penambahbaikan dengan prestasi dua kali ganda lebih pantas dari keluaran sebelumnya. Bagaimanapun, tiada sokongan Thunderbolt 4 disediakan, dengan port USB-C ini hanya terhad kepada kelajuan USB 3.1 Gen 2.

iPad Air ini juga hadir dengan kabel pengecas USB-C dan juga adapter bekalan kuasa 20W USB-C di dalam kotak pembungkusannya. Apple turut menyatakan iPad Air baharu ini diperbuat daripada 100% bahan aluminium kitar semula pada bahagian badannya sebagai salah satu langkah melestarikan alam sekitar.

Kuasa pemprosesan bukanlah satu-satunya penambahbaikan utama yang disediakan pada iPad Air ini. Apple juga telah menaik taraf kamera hadapannya dari 8MP kepada kamera ultra lebar 12MP f/2.4 dengan sudut pandangan 122-darjah. Ini membolehkan iPad Air menyokong Center Stage, fungsi yang membolehkan pengguna ditempatkan di tengah-tengah bingkai ketika panggilan video sedang berlangsung. Walaubagaimanapun, untuk kamera belakang pula Apple masih lagi menawarkan kamera utama 12MP f/1.8, sama seperti sebelum ini.

Lain-lain ciri pada iPad Air keluaran 2022 ini masih lagi sama seperti sebelumnya. Antaranya paparan Liquid Retina 10.9-inci beresolusi 2360 x 1640 pada ketumpatan piksel 264ppi. Ia turut meliputi warna gamut P3 dan juga mempunyai True Tone.

Paparannya ini juga mempunyai kecerahan sehingga 500 nits dan sokongan Apple Pencil Generasi Kedua. Turut disediakan sepasang pembesar suara stereo, dwi-mikrofon bertatasusunan da sokongan Touch ID pada butang kuasanya.

Pada berketebalan 6.1mm dan seberat 462g, iPad Air versi terbaru ini hadir dengan bateri 28.6Wj. Menurut Apple, bateri ini mampu bertahan selama 10 jam untuk mainan semula video penstriman secara berterusan. iPad Air ini hadir dalam warna Kelabu Angkasa (Space Gray), Gemilang Bintang (Starlight), Merah Jambu, Unggu, dan Biru.

Harga dan tarikh jualan Apple iPad Air 2022 di Malaysia

Berikut adalah harga bagi iPad Air baharu di Malaysia:

  • Apple iPad Air, WiFi sahaja, storan 64GB storan – RM2,699
  • Apple iPad Air, WiFi + Selular, storan 64GB – RM3,349
  • Apple iPad Air, WiFi sahaja, storan 256GB – RM3,349
  • Apple iPad Air, WiFi + Selular, storan 256GB – RM3,999

Apple memaklumkan iPad Air akan mula dijual di Amerika Syarikat pada 18 Mac ini. Namun, tidak menyatakan bilakah jualannya di Malaysia akan bermula setakat ini.

iPad Air turut menyokong penggunaan aksesori seperti berikut:

  • Apple Pencil (Gen Ke-2) – RM549
  • Magic Keyboard – RM1,349
  • Smart Keyboard Folio – RM769
  • Smart Folio – RM329

Maklumat lanjut mengenai Apple iPad Air baharu ini, layari laman web rasmi Apple Malaysia di pautan berikut: https://www.apple.com/ipad-air/specs/

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.